HomeBlogSenarai Ibu Baru Hamil Wajib Buat

Senarai Ibu Baru Hamil Wajib Buat

Adakah anda pertama kali hamil? Melihat dua tanda pada kit kehamilan anda tentu mengujakan bakal ibu dan bapa. Saat pertama kali disahkan hamil membuatkan anda terpinga-pinga dan tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan semasa awal kehamilan. Kami kongsikan senarai wajib buat untuk bakal ibu semasa trimester pertama.

Apa perkara pertama yang perlu dilakukan selepas mengetahui anda hamil?

  • PERGI KLINIK
    Jika anda hanya melakukan ujian kehamilan di rumah, anda perlu mengesahkan kehamilan anda dengan memeriksanya sekali lagi di klinik atau hospital. Tentunya suatu kelegaan jika dapat mendengar sendiri daripada mulut pakar bertauliah tentang kehamilan anda. Semasa perjumpaan bersama doktor, anda akan diberikan beberapa panduan untuk ibu hamil termasuklah tentang penjagaan pemakanan. Selepas disahkan hamil, anda perlu membuat janji temu pertama kehamilan di sekitar usia kandungan anda 8 minggu hingga 10 minggu.
  • VITAMIN WAJIB AMBIL
    Semasa perjumpaan anda dengan doktor, anda akan diberikan vitamin wajib bagi wanita hamil iaitu asid folik. Asid folik merupakan nutrien penting yang dapat melindungi janin anda daripada mengalami masalah kecacatan tiub neural seperti spina bifida. Walau bagaimanapun, sebenarnya vitamin asid folik ini sepatutnya perlu diambil sebelum anda mengetahui anda sedang hamil lagi. Bagi mereka yang sedang merancang hamil dan berada di awal kehamilan, anda memerlukan 400mcg suplemen asid folik. Anda boleh mendapatkan suplemen asid folik di farmasi, klinik atau hospital.
  • VITAMIN PRANATAL
    Setiap ibu hamil perlu mengambil vitamin pranatal yang mengandungi vitamin dan mineral penting yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan. Vitamin pranatal yang baik perlulah mengandungi asid folik, zat besi, zink, iodin, kalsium, vitamin C dan D, thiamine, riboflavin dan niacin.
  • PANTANG-LARANG MAKAN
    Adakah anda tahu makanan yang tidak boleh diambil semasa hamil? Perkara penting yang perlu anda ambil berat adalah mengenai amalan pemakanan di waktu hamil. Ketahui makanan yang terbaik untuk tubuh anda dan bayi serta makanan yang membahayakan kandungan anda seperti makanan mentah. Pastikan anda mengikut nasihat doktor untuk mendapatkan makanan yang sihat sepanjang kehamilan kerana faktor pemakanan akan turut membantu perkembangan dan berat badan janin.
  • BERHENTI MEROKOK, ALKOHOL
    Gaya hidup yang tidak sihat akan memberi risiko kepada kandungan anda. Jadi, jika anda merokok, anda perlu menghentikan tabiat itu segera. Begitu juga jika anda seorang peminum alkohol. Pengambilan alkohol semasa awal kehamilan akan meningkatkan risiko keguguran.
  • KEKAL HIDRAT
    Minum lebih banyak air semasa anda hamil! Tubuh anda memerlukan lebih air untuk membantu meningkatkan isipadu darah bayi anda. Kurang air dalam badan akan menyebabkan anda mengalami sembelit, pitam, kesan regangan kulit dan meningkatkan risiko kelahiran bayi pramatang. Maka, pastikan tubuh anda kekal hidrat dengan meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong setiap hari.
  • BERGERAKLAH!
    Mungkin anda rasa terlalu awal untuk ibu hamil menyertai kelas senaman pranatal. Namun, sebenarnya di dalam kelas ini anda akan mengetahui jenis-jenis senaman yang boleh dilakukan oleh ibu hamil di samping membantu anda meningkatkan tenaga sepanjang kehamilan. Selain itu, aktiviti senaman dapat membantu anda melancarkan proses kelahiran. Namun, dapatkan nasihat daripada doktor anda tentang senaman yang boleh anda ikuti- terutama jika anda mengalami masalah kesihatan tertentu.
  • JANGAN LAKUKAN KERJA BERAT
    Di awal kehamilan, doktor akan menasihati anda supaya kurang melakukan kerja-kerja berat kerana ketika ini adalah waktu yang paling kritikal dan mudah untuk mengalami keguguran.

Leave a comment