“I nanti nak anak sepasang je lah. Sorang lelaki, sorang perempuan. Cukup. Ramai-ramai buat apa? Nak buat team boria ke? Hehe…”

Diana tersenyum mendengar kata Najihah dan langsung tidak terkesan. Padanya, anak adalah rezeki dan satu kebahagiaan buatnya. Dia mahu 10 orang anak kalau boleh. Namun pendapatnya yang bertentangan dengan Najihah langsung tidak menjejaskan impiannya untuk mempunyai ramai anak. Dia juga menghormati mentaliti Najihah kerana dia tahu semua orang ada fikiran masing-masing dan ada sesetengahnya akan merasakan dirinya gila kerana inginkan anak ramai.

Namun sampai satu tahap, Najihah sendiri tertanya apa sebabnya Diana mahu ramai anak. Kerana padanya, ramai-ramai anak akan membawa 1001 masalah. Contohnya seperti berikut :

  • Membawa kemudaratan pada populasi manusia di dunia yang sudah terlalu ramai
  • Mengganggu waktu tidur, kebebasan dan ruang peribadi
  • Merosakkan hubungan persahabatan dan perkahwinan kerana lari fokus kepada kepentingan anak-anak
  • Mendatangkan stres yang lebih memudaratkan daripada biasa
  • Perlu ubah atau tidak dapat meneruskan rancangan hidup untuk capai kejayaan dalam kerjaya atau bisnes yang dibina

Tidak dinafikan ada benarnya isu dan masalah di atas sekiranya kita mempunyai anak yang ramai dan tidak dapat memberikan jagaan dan kasih sayang yang secukupnya sehingga anak-anak kita terbiar dan paling menyedihkan, tidak menjadi insan yang berguna dan membahagiakan kita.

Namun, bukanlah tugas seorang anak sepenuhnya untuk membahagiakan kita kerana kita sebagai ibubapa juga harus membahagiakan mereka. Walau apapun kelebihan dan kekurangan anak-anak kita, kita harus menerima mereka seadanya dan sama-sama membentuk mereka menuju ke arah masa depan yang cemerlang.

Untuk kebanyakan kita yang inginkan anak, tujuan utama dan kebiasaannya yang kita tahu adalah kerana mahu menyambung keturunan, legasi dan generasi keluarga kita.

Namun, ada banyak lagi SEBAB-SEBAB KITA PERLUKAN RAMAI ANAK. Apakah sebabnya?

  1. Mengeratkan lagi hubungan sesama suami isteri

Sesungguhnya, membesarkan anak supaya sihat, gembira dan bijak serta memastikan mereka selamat adalah satu perkara yang sukar jika diuruskan seorang diri. Disebabkan itulah, kebanyakan ibu atau bapa tunggal lebih mudah mengalami stres dan masalah mental yang luar biasa. Berdua pun perlu bertungkus-lumus dan bekerjasama, inikan pula seorang diri. Namun bila dilakukan bersama-sama sesama pasangan suami isteri, ianya boleh menjadi suatu cara yang mampu mengeratkan lagi hubungan dan kasih sayang. Bila isteri tumpas, suami teruskan. Bila suami penat, isteri teruskan. Sama-sama bantu- membantu. Maka, masing-masing akan semakin sayang kerana tahu sentiasa ada insan yang boleh diharap dalam menerajui masa depan keluarga. Membina keluarga ibarat membina sebuah empayar. Jadi kekuatan kerjasama suami isteri memainkan peranan dalam pembentukan masa depan dan kebahagiaan anak-anak.

 

  1. Untuk menyambung keturunan dan meneruskan nama keluarga turun-temurun

Sambungan zuriat dari moyang kita ke atok dan nenek ke ibu dan bapa dan kita dalam sesebuah keluarga amatlah penting untuk menyambung legasi keluarga kita. Semakin ramai anak-anak, semakin besar potensi untuk menyambung zuriat. Kerana di sebalik populasi manusia di muka bumi yang menghadapi kematian dan kebarangkalian untuk tidak berkahwin dan beranak, anak-anak yang ramai akan berperanan membawa nama keluarga selama yang mungkin di dalam kehidupan ini.

 

  1. Memberi dan menerima kasih sayang tanpa syarat

Benarlah kata pepatah Melayu, “Air dicincang tidak akan putus”. Bersama anak-anaklah kita akan punyai perasaan memberi dan menerima kasih sayang tanpa bersyarat. Tanpa mengharapkan sebarang balasan. Kerana apa? Kerana mereka adalah darah daging kita. Dengan segala kekuatan yang ada, kita akan pastikan ahli keluarga kita dapat bantuan yang sepatutnya ketika mereka menghadapi kesukaran. Kerana kesakitan dan kesengsaraan mereka akan membuatkan kita juga terasa. Ibarat cubit peha kanan, terasa peha kiri. Kawan-kawan datang dan pergi. Namun ibubapa dan anak-anak, adalah satu hubungan yang paling tiada batasnya. Pengorbanan ibubapa untuk anak-anak, adalah sesuatu yang pastinya anak akan hargai apabila mereka sudah dewasa, maka terhasillah kasih sayang tanpa syarat. Di sebalik ketidaksempurnaan setiap manusia, kita akan menerima baik buruk anak-anak kita seadanya supaya anak-anak kita juga terima baik buruk kita seadanya.

 

  1. Melatih diri untuk lebih kreatif, bersabar dan penyayang

Sebagai ibubapa, kadang-kadang kita harus melakukan sesuatu dengan pantas dengan sumber yang terhad, untuk anak-anak. Jadi kita akan menjadi seseorang yang bertindak dengan lebih kreatif sebagai penyelesaian ekspres sementara mendapatkan penyelesaian sebenar. Contohnya anak kita mahu ke Zoo Negara melihat binatang-binatang hidup. Namun musim-musim Perintah Kawalan Pergerakan ini, kita tidak dapat memperkenankan keinginan anak itu. Jadi, kita cipta sendiri situasi dalam Zoo Negara tersebut dengan anak patung haiwan anak-anak kita sambil buat bunyi-bunyi haiwan tersebut untuk hiburkan anak-anak. Walaupun tidak sama, namun sekurang-kurangnya anak kita terhibur dan mereka hargai usaha kita. Begitu juga dengan peningkatan tahap kesabaran kita. Dengan anak-anak, kita akan lebih bijak mengawal emosi dan perasaan. Untuk lebih bertimbangrasa. Jika dengan orang dewasa, mungkin kita akan terus melepaskan amarah kita. Namun dengan anak-anak, ia adalah seperti satu latihan mengawal diri kita. Percaya kata kami, kita akan menjadi insan yang lebih tabah dengan anak-anak yang ramai.

 

  1. Untuk menjadi ibubapa yang lebih baik dari ibubapa sendiri

Mungkin ada antara kita yang menghadapi beberapa pengalaman buruk ketika dibesarkan ibubapa sendiri sebelum ini terutamanya pada zaman-zaman dahulu yang kebanyakannya berfikiran konservatif dan mungkin sedikit kolot. Samada segala-galanya dikawal terlalu ketat atau pun kita langsung tidak diambil peduli. Apapun, kedua-dua ini memberi kesan kepada kita sebagai ibubapa. Adakah kita akan melakukan yang sama atau kita akan perbaiki situasi ini bila kita menjaga dan mendidik anak-anak kita pula? Jadi, dengan anak yang ramai, inilah peluang kita yang kebiasanyaan didatangkan dengan niat untuk tidak benarkan anak kita merasai perasaan negatif seperti itu lagi.

 

  1. Tekanan sosial, keluarga, masyarakat dan sekeliling

“Bila nak tambah anak? Sunyi anak you sorang-sorang tu!”

“Dah berumur, tak elok mengandung lambat sangat”

“Mama teringin sangat nak ada cucu satu lagi. Along tak mahu ke mengandung lagi?”

Beginilah tekanan dan kata-kata orang di sekeliling kita. Namun samada kita benar-benar terkesan atau tidak ambil peduli, ianya adalah hak kita. Mungkin kita akan rasa terganggu dengan kata-kata ini namun sampai satu tahap, kita akan memhami bahawa mereka sebenarnya ambil berat tentang kita dan keluarga kita. Kebanyakan soalan-soalan tentang menambah anak ini sebenarnya ada kebaikannya. Tidak akan terdetik hati seseorang untuk bertanya soalan ini jika Tuhan tidak izinkan. Jadi, ada hikmahnya di sebalik soalan-soalan ini kepada kita. Jangan ambil hati. Terimalah dengan hati yang positif dan jika ada rezeki, adalah rezeki untuk kita tambah lebih ramai anak lagi.

 

  1. Supaya bila kita sudah berumur, ada anak-anak yang boleh uruskan penjagaan kita di hari tua

Ini adalah sebab yang popular. Sememangnya bila kita sudah tua dan tidak berdaya, anak-anak kitalah yang menjadi tempat bergantung kerana mereka masih kuat dan bertenaga. Jadi bila kita ada ramai anak, makin ramailah yang boleh diharapkan. Namun kami nasihatkan untuk kita bertanggungjawab ke atas diri sendiri dari awal dan tidak terlalu mengharapkan anak-anak untuk bertanggungjawab ke atas kita di hari tua nanti walaupun itu adalah tanggungjawab mereka. Ketahuilah anak-anak kita akan punyai hidup dan cabaran tersendiri di mana kita tidak dapat tentukan samada ketika hari tua kita nanti, mereka akan berkemampuan untuk menjaga kita 100%. Jadi istilah mempunyai anak ramai adalah supaya masing-masing boleh bergilir-gilir untuk menjaga kita. Jika seorang anak saja, mungkin ianya akan menjadi sesuatu yang berat untuknya. Jadi, mempunyai anak yang ramai dikatakan boleh membantu kita di hari tua.

Semoga 7 sebab-sebab ini membuka mata dan minda anda semua yang membaca. Sesuatu yang boleh anda fikirkan sebelum mempunyai anak. Adakah perlu anak yang ramai atau tidak, sesuatu yang boleh anda bincangkan sesama suami isteri. Ini adalah keputusan dan tanggungjawab yang harus dipikul bersama.

Anak adalah anugerah terindah untuk kita. Jadi, hargailah mereka seperti mana kita mahu mereka hargai kita.