Penyakit kencing malam perkara lumrah yang berlaku pada kanak-kanak di bawah umur 3 tahun. Hal ini kerana mereka tidak mampu mengawal pundi kencing lantas tanpa sedar, terkencing ketika tidur.
Pagi keesokannya bangun, tilam basah dan berbau hancing. Oleh itu, apakah rawatan kencing malam yang terbaik bagi selesaikan masalah ini?
Petua orang dahulu, kalau hendak mengelak anak kencing malam atas tilam, letakkan kaki pepatung yang masih hidup pada pusat kanak-kanak itu seketika.
Sejauh mana kebenaran dan rasionalnya berbuat demikian tidak pula dapat dipastikan, namun semua itu sekadar petua.
Hakikatnya, dalam konteks perubatan, gangguan kencing malam atau Enuresis bukanlah satu masalah, sebaliknya ia satu proses yang berlaku ketika anak-anak sedang membesar, kerana proses belajar untuk kencing akan terjadi ketika usia dua tahun ke atas.
Kencing malam adalah satu keadaan yang mana kanak-kanak kencing tanpa disedari semasa tidur dan bukan perkara yang harus dibimbangkan.
Menurut Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Pensyarah Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Farin Masra, keadaan kanak-kanak yang kencing malam tanpa sedar itu lazimnya akan berhenti berlaku selari dengan peningkatan usia mereka.
Proses untuk belajar kencing ini berlaku apabila mereka sudah boleh bercakap. Ketika itu, ibu bapa juga perlu mengambil peluang untuk mengajar mereka menggunakan tandas, namun apabila waktu malam sering berlaku Enuresis, yang mana kanak-kanak itu kencing tanpa sedar.
Keadaan ini adalah normal buat kanak-kanak, namun akan menjadi masalah apabila mereka sudah berusia enam tahun ke atas kerana sudah mempunyai perasaan malu dengan keadaan itu, selain penerimaan ibu bapa mula berbeza berbanding ketika mereka masih kecil.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keadaan berkenaan berlaku antaranya, fungsi saraf tunjang masih belum matang, iaitu proses membuang air kecil melibatkan penghantaran signal daripada pundi kencing ke otak.
Selain itu, tambah beliau, pundi kencing kecil dan tidak dapat menampung isi padu air kencing, selain belum pandai mengawal pundi kencing sebagaimana orang dewasa, terutama pada waktu tidur atau malam.
Faktor genetik atau keturunan, iaitu ada ahli keluarga yang pernah mengalami gangguan kencing malam, juga menjadi punca masalah tersebut.
Faktor lain, seperti mengalami kurang penghasilan hormon yang dipanggil vasopressin semasa tidur, yang mampu mengurangkan penghasilan air kencing di waktu malam.
Kanak-kanak tidur terlalu nyenyak (deep sleep) juga menjadi antara punca mereka kencing malam, selain masalah perubatan seperti menghidap kencing kotor, jangkitan saluran kencing dan kencing manis.
NORMALKAH ANAK KENCING MALAM?
Sebenarnya, kencing malam memang kerap terjadi apabila anak di bawah lima tahun mula beralih fasa bercerai lampin.
Ia adalah perkara normal bagi anak-anak di usia itu kerana mereka masih belum tahu cara untuk mengawal pundi kencing sepenuhnya. Proses ini mengambil masa dan bukanlah semudah yang kita sangkakan.
Bayangkan anak-anak yang sudah terbiasa kencing dalam lampin setiap hari, mereka perlu sedikit masa untuk beradaptasi dengan perubahan apabila meningkat usia. Keseluruhan proses mengawal pundi kencing ini melibatkan kombinasi otot, saraf, ‘spinal cord’ dan otak.
Gangguan kencing malam lebih mudah diatasi jika anak dan ibu bapa bersedia untuk menghadapi keadaan berkenaan dengan bersikap lebih positif.
Dalam hal berkaitan, ibu bapa tidak sepatutnya memarahi anak-anak yang kencing malam, kerana akan menyebabkan mereka berasa tertekan apatah lagi keadaan itu berlaku tanpa sedar.
Lazimnya, gangguan kencing malam akan pulih sebaik kanak-kanak itu semakin besar, namun jika masih berlaku, ibu bapa boleh mendapatkan alternatif dengan membawa kanak-kanak berjumpa dengan doktor.
Terdapat tiga kaedah rawatan yang sering dicadangkan oleh doktor, iaitu mempunyai pengetahuan am tentang kencing malam, terapi tingkah laku dan menggunakan ubatan.
Ibu bapa harus faham bahawa kencing malam yang berlaku adalah di luar kawalan anak-anak, jadi mereka tidak boleh dipersalah dan dimarahi.
Penggunaan terapi tingkah laku pula adalah dengan memberi semangat kepada anak-anak berkenaan jika mereka berjaya untuk tidak kencing malam, misalnya boleh memberi penghargaan seperti menggunakan sistem ganjaran carta pemberian bintang (star chart). Jika dia tidak kencing, tampal satu bintang pada carta mereka, jadi mereka akan rasa seronok dan cuba berusaha untuk tidak kencing malam.
CARA ATASI ANAK KENCING MALAM
Walaubagaimanapun, jika mereka mengambil masa terlalu lama, tentu kita pun boleh hilang sabar. Tapi jangan khuatir, kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian, begitu juga dengan kencing malam ini.
Antara langkah mengatasinya yang boleh ibu bapa lakukan adalah:
1. HADKAN MINUM PADA WAKTU MALAM
Hadkan pengambilan pada waktu malam lebih-lebih lagi sebelum tidur.
Sebaliknya, biasakan anak minum air dengan banyak pada waktu siang.
2. KENCING SEBELUM TIDUR
Meskipun anak kurang minum sepanjang malam, pastikan dia kencing dulu sebelum tidur.
3. KEJUTKAN ANAK
Dua atau tiga jam selepas masuk tidur, kejutkan anak dan bawa ke bilik air untuk buang air.
Memang agak sukar sebab anda juga memerlukan rehat namun ia perlu diusahakan untuk elak anak kencing di tilam.
4. ‘BLADDER TRAINING’
Latih anak tahan kencing pada waktu siang. Apabila membawanya ke tandas, suruh anak tahan beberapa minit sebelum kencing.
Mulakan selama lima minit dan tambahkan masa sehingga 30 minit. Ia dilakukan supaya anak pandai mengawal pundi secara automatik meskipun sedang tidur.
5. ALAS TILAM DENGAN PLASTIK
Plastik biasanya kalis air. Jadikannya sebagai alas tilam dengan meletakkannya di bawah cadar. Jadi air kencing tidak akan menembusi tilam.
Jika tidak selesa, terdapat pelbagai pelindung tilam jenis lembut yang kalis air.
6. BERI GANJARAN
Jangan lupa beri ganjaran dan kata pujian pada anak bag setiap pagi yang ‘kering’. Dengan ini, dia akan berusaha untuk tidak kencing malam lagi.
7. AMBIL UBAT
Jika semua tidak berhasil, pengambilan ubat adalah jalan terakhir.
Tapi, biasanya ubat perlu diambil dalam jangkamasa yang agak lama kerana jika berhenti, kencing malam akan terjadi lagi. Oleh itu, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum memberi sebarang ubat-ubatan kepada anak.
Sekiranya anda dapat mengesan awal masalah kencing malam ini pada anak, usahakan membawa mereka mendapatkan rawatan lanjut daripada pakar tertentu. Jangan biarkan mereka tanpa sebarang rawatan susulan kerana masalah kencing malam boleh dihentikan.
Jika masalah ini dibiarkan berlarutan sehingga kanak-kanak membesar, ini menyebabkan stres atau tekanan psikologi. Mereka akan berasa malu untuk berhadapan dengan rakan sebaya dan paling ketara adalah memencilkan diri. Sebagai ibu bapa anda harus berusaha merawat anak anda dan jangan sesekali memarahinya. Harus diingat kencing malam berlaku dalam keadaan dia tidak sedar.
INFO
- Kebiasaan kanak-kanak mula belajar buang air kecil di bilik air di antara umur dua hingga empat tahun.
- Daripada jumlah itu, 20 peratus kanak-kanak berusia lima tahun masih kencing malam, kanak-kanak tujuh tahun (10 peratus), kanak-kanak 10 tahun (lima peratus) dan remaja usia 15 tahun (satu hingga dua peratus ).
- Di Malaysia, berdasarkan kajian di kawasan Lembah Klang , enam daripada 100 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun mengalami kencing malam
- Kanak-kanak lelaki mengalami Enuresis dua kali ganda lebih daripada kanak-kanak perempuan
Langkah rawatan lain
- Galakkan anak kencing pada waktu siang dengan kerap. Empat hingga tujuh kali sehari
- Bawa ke tandas empat jam sekali
- Elakkan memberi minuman banyak gula atau kafein
- Galakkan minum air banyak pada siang hari dan kurangkan pada waktu malam. 40 peratus minum waktu siang dan tengah hari dan 20 peratus minum petang dan malam.
- Lapik tilam dengan alas kalis air