Apa yang anda akan buat pada perabot-perabot rumah yang semakin usang dan tidak lagi memberi keceriaan kepada dekorasi rumah anda? Pasti ramai yang memilih menukarnya dengan perabot baru dengan rekaan moden yang lebih ceria. Lebih lagi apabila tiba musim perayaan. Tentu kita ingin tetamu yang berkunjung ke rumah merasa kagum dengan perabot yang ada di dalam rumah kita. Ada juga yang memilih membuangnya walaupun pada hakikatnya perabot itu masih boleh berfungsi dengan baik. Hanya warnanya sahaja yang tidak lagi menarik. Ada juga yang memilih menjual sahaja kepada sesiapa yang sudi membeli pada harga yang murah. Itu lebih baik daripada membiarkan perabot tidak terpakai ini menjadi lambakan barang buruk dalam bilik simpanan barang-barang terpakai.

Sebelum anda membuang perabot lama yang tidak lagi dipakai, apa kata anda merenung sejenak pada keadaan perabot tersebut. Sebenarnya jika difikirkan kebanyakan perabot lama masih lagi boleh digunakan dan diceriakan jika anda rajin melakukan transformasi ke wajah baru. Manusia sendiri adakalanya memerlukan transformasi ke arah penampilan yang lebih menarik. Inikan pula perabot lama yang masih boleh digunakan.

Pelbagai idea transformasi perabot lama ke wajah baru yang boleh dicontohi. Apa yang penting ia memerlukan kerajinan, minat dan idea yang kreatif dalam diri anda. Di sini anda boleh lihat beberapa contoh idea melakukan transformasi perabot lama ke wajah baru yang pastinya dapat menceriakan rumah anda.


Transformasi 1 : Almari Kasut

Kita sering memandang almari simpanan kasut sebagai barang yang tidak penting kerana ia hanya menyimpan kasut. Berbeza keadaannya apabila kita menyimpan barangan lain seperti pakaian dan beg tangan. Sudahlah almarinya tidak menarik. Ditambah pula dengan keadaan almari yang kotor dengan kesan debu kasut dan bau yang tidak menyenangkan. Almari kasut sama seperti perabot lain perlu kelihatan menarik kerana ia antara perabot yang pertama dilihat apabila kita membuka pintu rumah. Transformasi almari kasut yang membosankan boleh dilakukan menerusi teknik mengecat semula dan menampal dengan hiasan pelekat dinding pelbagai corak dan tema. Transformasi almari kasut akan mengubah persepsi kita supaya tidak hanya memandang ia sebagai tempat simpanan kasut. Sebaliknya menjadikan ia almari kasut yang bersih dan kreatif.


Transformasi 2 : Almari Buku

Almari buku lama agak berbeza dengan rak buku dengan rekabentuk moden. Biasanya ia tampil dengan coklat seakan cat lama yang kurang berseri. Untuk naikkan semula seri warnanya anda boleh memilih sama ada mengecat semula dengan warna baru kegemaran anda. Jika warna lama masih elok dan tidak luntur gunakan campuran minyak zaitun dan cuka untuk menggilapnya secara semulajadi. Kaedah ini dapat mengilatkan semula warna asal yang pudar dan kusam. Untuk lebih menarik lagi, anda boleh menceriakan ia dengan tambahan lampu. Tentu tidak sukar lagi untuk anda menyimpan dan mencari tajuk buku kegemaran apabila ingin membaca. Boleh juga meletakkan barang-barang perhiasan antik untuk menampilkan kelainan pada teknik hiasan.


Transformasi 3 : Meja Makan Pintu

Pintu kayu yang tidak lagi berguna dan rosak boleh diubahsuai menjadi meja antik yang unik dan ceria. Mungkin ia agak rumit kerana memerlukan sedikit kerja-kerja pertukangan untuk menambah sokongan kaki meja, menggilap dan mengecat semula dengan warna baru kegemaran anda. Mereka yang meminati dunia antik akan menyukai meja yang diubahsuai daripada pintu yang tidak lagi digunakan. Tambahkan keserian meja antik ini dengan hiasan tambahan seperti bunga hidup. Meja ini sesuai diletakkan di luar rumah sebagai tempat untuk anda duduk sambil menikmati hidangan teh dan biskut pada waktu petang.


Transformasi 4 : Cermin Lama

Cermin lama dengan rekabentuk antik adakalanya nampak menyeramkan lebih lagi jika disimpan dalam bilik tidur pada waktu malam. Tidak ramai yang berminat menyimpan cermin lama sebagai perhiasan rumah sedangkan anda boleh menukarnya supaya kelihatan lebih ceria, moden dan kurang unsur-unsur seram. Jangan terlalu terpengaruh dengan filem-filem hantu lama. Apa kata anda mengambil berus dan cat warna kegemaran anda dan mengubahnya dengan sentuhan kreatif anda dan menjadikannya sebagai salah satu hiasan antik yang menarik dipandang.


Transformasi 5 : Kerusi Lama

Adakalanya punggung rasa tidak selesa duduk lama di atas kerusi antik yang diperbuat daripada kayu. Anda boleh mengubahnya menjadi kerusi yang lebih selesa dengan tambahan pelapik tempat duduk dan di bahagian penyandar. Peralatan asas yang diperlukan ialah gumpalan kapas sebagai pelapik tempat duduk dan kain bercorak untuk dijahit bagi menampilkan wajah baru pada kerusi. Proses transformasi ini memerlukan tambahan peralatan lain seperti dawai kokot, gam, jarum dan benang yang sesuai.


Transformasi 6 : Cat Ombre

Ubah warna perabot lama anda kepada cat ombre iaitu campuran beberapa warna cat. Bagi yang kreatif, teknik cat ombre ini akan lebih menarik apabila diberi sentuhan cat gaya vintaj menampakkan lagi kesenian dan ciri lama pada perabot. Jika tangan anda kurang berseni juga tidak mengapa kerana anda masih boleh mengecat menggunakan teknik mengecat biasa dengan mencampurkan beberapa warna dalam satu perabot.


Transformasi 7 : Kerusi Sofa

Sebelum membuang kerusi sofa lama, cuba perhatikan jika ia mungkin boleh diselamatkan melalui proses transformasi. Kebiasaannya kerusi sofa yang mana spring yang merupakan asas tempat duduknya masih dalam keadaan baik masih lagi boleh diselamatkan. Dengan melakukan transformasi sofa lama, anda sebenarnya boleh menyelamatkan wang sehingga beribu ringgit tanpa perlu membeli kerusi sofa baru. Transformasi kerusi sofa lama ke wajah baru mungkin agak rumit memandangkan saiznya yang besar dan terdapat beberapa bahagian kerusi yang perlu diperbaiki. Namun jika anda sabar dan menukarnya secara perlahan-lahan hari demi hari, anda pasti akan bergembira dengan hasilnya yang pasti lebih menarik menerusi idea kreativiti anda sendiri.


Transformasi 8 : Bahagian Dalaman Almari

Bahagian dalaman laci dan almari juga tidak seharusnya dibiarkan kosong tanpa sebarang hiasan. Anda boleh menggunakan pelekat dinding bercorak yang sesuai mengikut tema yang anda inginkan sama ada corak berbentuk abstrak, lukisan haiwan, tumbuhan atau warna kosong tanpa corak. Boleh juga menggunakan kertas dinsing berwarna keemasaan untuk menampilkan gaya mewah. Penggunaan kertas dinding adalah cara paling mudah untuk anda menukar perabot lama yang membosankan supaya kelihatan lebih berseni dan mempunyai sentuhan moden.


Transformasi 9 : Meja Bercorak

Meja biasa tanpa corak boleh diserlahkan dengan memberi sentuhan abstrak melalui teknik semburan warna dan cat. Anda boleh mencari kertas stensil pelbagai corak yang diinginkan bagi menghasilkan corak yang diingini pada meja kosong tersebut. Dengan cara ini lukisan anda tidak comot dan membentuk dengan baik seperti yang anda inginkan.


Transformasi 10 : Rekabentuk Meja Otoman

 

Rekabentuk otoman adalah meja rendah yang dialasi dengan kusyen tebal. Anda boleh menggunakan meja rendah sedia ada yang tidak lagi digunakan. Lapisan kusyen atau span tebal mengikut saiz meja dilapisi di bahagian atas. Proses ini diakhiri dengan jahitan sebagai alas di bahagian atas. Stapler perabot diperlukan untuk mengemaskan lagi kedudukan span dan kain alas supaya tidak bergerak dan untuk mengukuhkan jahitan.