Hari ini ramai yang memilih untuk bersenam dengan mengamalkan larian untuk tujuan menjaga kesihatan dan menurunkan berat badan. Larian juga sebagai terapi untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi baik dari segi bebanan di tempat kerja, masalah keluarga, kemerosotan tahap kesihatan, kebosanan dan sebagainya. Berlari sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari boleh meningkatkan semangat dan motivasi dalaman yang positif dalam diri. Ini kerana apabila kita berlari, badan kita akan menghasilkan sejenis hormon baik yang berhubung dengan otak iaitu hormon endorfin. Hormon ini umpama ubat yang dapat menghilangkan kesakitan seseorang tanpa menyebabkan kehilangan kesedaran. Oleh itu, bagi mereka yang seringkali menghadapi tekanan, anda disarankan untuk menghidupkan semangat positif dalam diri dan mengurangkan beban emosi yang dihadapi dengan berlari.

Berlarilah Dengan Selesa

Semangat adalah penting untuk memulakan larian. Salah satu cara seseorang itu dapat meningkatkan semangat larian ialah melalui pemilihan pakaian dan peralatan larian yang tepat dan sesuai. Semasa berlari badan kita akan mengalami kadar perpeluhan yang tinggi. Badan akan menghasilkan haba setempat di seluruh badan. Perpeluhan ini akan mempengaruhi keselesaan semasa larian terutama dari segi pemakaian. Oleh kerana itu anda tidak seharusnya menyarungkan pakaian sesuka hati untuk aktiviti larian. Anda memerlukan baju dan seluar yang ringan dengan keupayaan pengaliran udara yang baik.

Kebiasaannya mereka yang baru ingin menjinakkan diri dalam dunia larian akan menghadapi masalah dalam memilih pakaian dan peralatan larian yang sesuai. Sebagai panduan beritkut ialah tips memilih pakaian dan peralatan larian yang boleh meningkatkan semangat anda untuk meneruskan aktiviti fizikal yang menyihatkan ini.

Tips 1 : Memilih Kasut Larian

Kasut larian perkara pertama yang anda perlu utamakan dalam larian. Kesesuaian kasut bagi setiap orang berbeza kerana dipengaruhi oleh faktor kaki seperti saiz, berat badan dan tahap penggunaan. Hanya kerana kasut larian tersebut sesuai dengan rakan anda, tidak bermakna ia memberikan keselesaan yang sama kepada diri anda. Jadi cara terbaik ialah anda sendiri yang membuat pemilihan kasut larian tersebut.

Kasut larian dicipta untuk mencegah kecederaan kepada kaki ketika berlari. Keselesaan kasut larian dinilai dari segi kemampuannya untuk menyerap tekanan semasa larian, mencegah kecederaan dan keupayaannya meningkatkan daya larian anda sama ada menyebabkan larian anda lebih ringan atau semakin berat yang mempengaruhi kelajuan larian.

Pilih kasut khas untuk larian

Bila menyebut kasut larian, sudah tentu anda tidak boleh menggunakan kasut bola sepak atau kasut bermain tenis. Pastikan anda mengkhususkan kasut larian hanya untuk larian dengan tidak mencampur adukkan pemakaiannya untuk tujuan lain. Jangan pula anda gunakan kasut larian untuk bercucuk tanam atau ke pusat gimnasium.

Harga & jenama

Semakin mahal harga sesuatu kasut, kebiasaannya akan semakin tinggi ciri teknologi dan keselesaan yang ditawarkan. Namun ini tidak bermakna anda perlu membeli kasut paling mahal untuk larian. Berfikiran terbuka dalam memilih kasut iaitu tidak menetapkan kepada jenama khusus sahaja. Setiap jenama di pasaran pasti menawarkan kelebihan yang anda tidak ketahui. Ramai yang terlalu taksub dengan jenama khusus sehingga tidak lagi berminat yang lainnya.

Jangan terperangkap dengan kemunculan kasut-kasut larian terbaharu di pasaran. Adalah lebih elok sekiranya anda membaca terlebih dahulu ulasan pengguna sebelum anda membelinya. Jika perlu dapatkan nasihat jurujual atau promoter kasut yang boleh membantu anda dari segi mendapatkan ukuran kaki dan saiz kasut yang tepat dan kasut larian yang paling sesuai untuk anda.

  • Kasut akan lebih selesa jika terdapat ruang lebih kira-kira 1 inci di depan jari dan 1 inci di bahagian tumit kaki. Kaedah ini untuk memberi ruang kepada pemakaian stoking larian mengikut ketebalan stoking.
  • Lebar kasut antara lelaki dan wanita tidak sama. Bagi wanita lebar kasut lebih runcing manakala lelaki lebih lebar.
  • Periksa keselesaan dibahagian tulang tumit kaki. Kasut yang terlalu ketat dan keras boleh meningkatkan risiko kaki melecet dan luka.
  • Pilih kasut jenis lightweight atau ringan. Ia mampu bertahan untuk larian antara 300 sehingga 900 kilometer.
  • Kasut tapak rata adalah sesuai untuk larian pantas. Ia mampu bertahan untuk jarak larian keseluruhan antara 150 sehingga 400 kilometer. Kasut ini berbeza dengan kasut larian harian.
  • Bagi kasut larian laluan mencabar seperti dalam hutan dan laluan berbukit, anda disarankan memilih kasut yang mempunyai tapak dengan bentuk lekukan. Ia direka sedemikian untuk memastikan cengkaman yang kuat apabila anda berlari dalam keadaan jalan yang tidak rata.
  • Ketebalan tapak kasut memastikan kadar penyerapan yang mempengaruhi hentakan kaki semasa larian. Setiap pelari mempunyai tahap keselesaan yang berbeza. Ada yang selesa dengan tapak kasut sederhana tebal hanya untuk merasai pengalaman hentakan kaki yang dirasai semasa larian. Ada yang lebih selesa dengan tapak yang tebal kerana menghadapi masalah kesakitan pada tulang kaki.

Nike Air Max 2016 Running Shoes

New Balance Zante Running Shoes

Tips 2 : Pakaian Untuk Larian

Larian menjadi lebih selesa apabila anda memakai pakaian yang membenarnkan sistem pengaliran udara yang baik, sejuk dan tidak terlalu basah apabila berpeluh. Apabila memilih pakaian larian, terdapat beberapa perkara yang anda perlu teliti sebelum membeli. Pakaian larian termasuk baju, seluar, jaket dan tudung bagi wanita Muslim.

Fabrik

Pilih pakaian dari jenis fabrik yang membebaskan haba, pengaliran udara yang baik dan tidak menyerap penuh. Kebiasaannya kita akan memakai t-shirt semasa berlari. Pilih t-shirt dari jenis Polyester, Lycra dan, nilon  spandex. Selain itu fabrik dari jenis polipropilena juga sangat ringan yang memberikan keselesaan ketika anda berlari. Jika badan anda jenis yang tidak banyak berpeluh, anda juga boleh memakai kain cotton atau kapas. Akan tetapi elakkan memakai fabrik kapas jika badan anda mengalami perpeluhan yang banyak setiap kali bersenam. Kain kapas akan menyebabkan pakaian anda basah serta kurang pengaliran udara yang boleh meningkatkan suhu badan semasa berpeluh.

Puma PE Running Short Sleeve Tee

Jenama

Pakaian sukan untuk larian dari jenama terkenal direka khas untuk tujuan bersukan. Teknologi fabrik mereka menghasilkan kualiti terbaik untuk keselesaan semasa larian. Tidak salah jika anda memiliki beberapa helai pilihan pakaian larian dari jenama terkenal.

Saiz yang tepat

Pilih saiz baju mengikut bentuk tubuh anda namun jangan terlalu ketat. Pakaian yang longgar adalah baik untuk membenarkan pengaliran udara.

Cuaca

Anda boleh berlari dalam sebarang keadaan cuaca sama ada hujan, panas atau ketika dalam musim sejuk bagi negara-negara yang mengalami perubahan empat musim. Namun pastikan anda tidak mengabaikan faktor keselamatan seperti keadaan kilat yang mungkin menyambar ketika anda sedang berlari.

Dalam keadaan hujan dan cuaca sejuk anda memerlukan sehelai jaket bagi melindungi badan dari kelembapan, kebasahan dan cuaca sejuk. Ia adalah lapisan kedua pada badan anda selepas t-shirt di bahagian dalam. Pilih jaket jenis kalis air untuk mengurangkan kebasahan akibat terkena air hujan. Sesetengah pelari lebih selesa mengenakan jaket yang mempunyai penutup kepala

Stoking

Sesetengah daripada kita mengalami perpeluhan melampau di bahagian kaki. Stoking dari jenis poliester dan smartWool adalah pilihan terbaik untuk mengurangkan kebasahan dalam kasut. Bagi yang kurang berpeluh anda boleh memakai stoking dari jenis kapas atau cotton.

Bra & tudung

Wanita memerlukan bra larian yang tidak terlalu ketat atau longgar untuk keselesaan ketika berlari. Bra yang dipakai boleh memberi sokongan dan mengurangkan gegaran di bahagian payudara semasa larian. Oleh itu anda tidak boleh memakai bra yang terlalu longgar. Terdapat bra sukan untuk wanita yang memberi sokongan di bahagian payudara, tulang belakang dan bahu daripada material fabrik yang selesa boleh anda beli di pasaran.

Hari ini sudah muncul inovasi tudung atau hijab yang direka untuk ahli sukan wanita yang berhijab. Fabrik yang digunakan adalah dari jenis mesh iaitu sejenis fabrik yang ringan, boleh menyerap peluh dan mempunyai pengaliran udara yang baik.

Tips 3 : Kelengkapan Larian & Gajet

Selain pakaian dan kasut anda boleh melengkapkan diri dengan gear atau peralatan larian yang boleh meningkatkan mutu dan semangat larian anda. Ia bukan satu kewajipan yang perlu dimiliki. Namun ia adalah pilihan yang baik yang dapat membantu anda mengukur tahap larian dan keselesaan ketika berlari.

Jam kecergasan

Antara peralatan larian yang anda perlukan ialah jam kecergasan. Rekaan jam kecergasan pada hari ini dilengkapi dengan teknologi yang boleh mengukur tahap kecergasan, keadaan jantung, pembakaran kalori, fungsi mendengar muzik semasa berlari dan sebagainya.

Tali pinggang larian

Untuk keselesaan ketika membawa wang dan telefon bimbit ketika berlari, anda boleh memakai tali pinggang larian atau running belt. Aksesori ini mempunyai kemudahan zip dan ruang penyimpanan untuk barang-barang bersaiz kecil.

Aplikasi & telefon bimbit

Dengan teknologi aplikasi bersenam larian pada hari ini semakin ramai yang memilih untuk berlari sambil mendengar muzik, menghubungkan jam kecergasan ke telefon bimbit dan memuat turut aplikasi bersenam sebagai panduan ketika larian.