Bukan mudah bagi wanita mendapatkan semula bentuk badan idaman selepas mengandung dan bersalin. Maka sebab itulah pentingnya bagi wanita untuk mengikuti petua tradisional yang diamalkan sejak zaman nenek moyang kita dahulu iaitu mengikuti amalan berpantang selama 44 hari. Pada masa dahulu amalan pantang menjadi satu kemestian bagi memulihkan semula kesihatan dalaman dan luaran wanita selepas bersalin. Ia juga bertujuan untuk menjaga bentuk badan daripada naik dan berubah secara mendadak akibat kesan daripada pemakanan yang tidak sesuai dalam tempoh 44 hari selepas bersalin.
Pada hari ini amalan berpantang masih lagi diamalkan di kalangan wanita namun ia tidak lagi diamalkan secara meluas terutama di kalangan wanita moden yang hidup di kawasan bandar. Ia mungkin dipengaruhi oleh faktor masa yang terhad dan kurangnya pengetahuan mereka tentang amalan berpantang yang sebenar. Bertungku dengan batu panas sebagai contoh begitu kurang sekali diamalkan kerana kesukaran memiliki batu tungku untuk dituam pada bahagian tertentu badan selepas bersalin.
Bengkung Selepas Bersalin Di Kalangan Wanita
Namun fenomena ini agak berbeza dengan amalan berbengkung. Bengkung pada masa kini masih lagi diamalkan secara meluas termasuk di kalangan wanita moden. Apa yang membezakan amalan bengkung dulu dan sekarang ialah dari segi keaslian pengamalannya.
Amalan bengkung yang sebenar perlu didahulukan dengan melakukan mandian herba, berurut dan bertungku dengan batu panas. Ia diikuti pula dengan meminum jamu khas untuk membersihkan rahim dan dalaman wanita. Selepas semua proses ini dilakukan, baharulah kemujaraban amalan bengkung dapat membuahkan hasil yang diingini. Jika dahulu ibu-ibu menggunakan bengkung yang diperbuat daripada kain yang diikat dari paras rusuk sehingga pangkal paha. Pemakaian bengkung kain tradisional yang diikat ini tidak boleh dilakukan oleh ibu itu sendiri. Sebaliknya ia perlu dibantu oleh wanita lain yang bertanggungjawab menjaganya sepanjang proses berpantang. Kini kain bengkung direka lebih mudah serta menjimatkan masa si pemakai seiring dengan perubahan zaman moden.
Dari segi perbandingan, kita harus mengakui bahawa amalan berbengkung secara tradisional yang diiringi dengan penggunaan bahan-bahan herba, berurut dan bertungku akan membuahkan hasil yang lebih baik berbanding dengan memakai bengkung semata-mata.
Pemakaian bengkung zaman moden pada hari ini lebih menjurus kepada trend atau ikutan fesyen bagi menutup kekurangan tubuh badan seseorang wanita yang memiliki bentuk badan yang besar, gemuk atau berisi.
Kepentingan Amalan Bengkung Selepas Bersalin
Pentingnya amalan bengkung kepada wanita bersalin tidak dinafikan lagi terutama bagi yang amat mementingkan bentuk badan yang menarik selepas bersalin. Amalan berbengkung boleh dilakukan dalam tempoh tiga hari selepas wanita bersalin secara normal. Namun jika bersalin secara pembedahan pula anda perlulah tunggu sekurang-kurangnya dalam tempoh dua sehingga tiga minggu selepas luka pembedahan kering sepenuhnya.
Dalam tempoh 44 hari selepas bersalin, wanita digalakkan untuk mengikuti amalan bengkung secara berdisiplin. Bengkung boleh dipakai sepanjang hari dari pagi sehingga malam. Anda hanya perlu menanggalkannya apabila ingin mandi dan buang air besar dan kecil sahaja. Kesannya, anda akan dapati banyak manfaatnya terutama dari segi penjagaan bentuk badan, kesihatan rahim dan kebersihan dalamannya selepas bersalin.
Membuang angin dalam badan
Selepas bersalin bentuk badan wanita kelihatan agak kembang dan menggeleber terutamanya di bahagian perut. Selain itu, badan wanita juga akan dipenuhi oleh angin dalam badan yang berlebihan. Wanita bersalin juga terdedah kepada kemasukan angin dalam badan. Keadaan ini sebenarnya tidak kekal lama jika ibu-ibu rajin melakukan amalan berpantang dan bengkung selama tempoh 44 hari tersebut. Pemakaian bengkung dapat mengelakkan daripada kemasukan angin sejuk dalam badan menerusi pusat dan rongga badan yang terbuka termasuk liang-liang kulit.
Dalam perubatan tradisional masyarakat Cina, angin dianggap sebagai punca segala terjadinya penyakit dalam badan. Angin ini akan berpindah ke seluruh anggota badan menyebabkan sering rasa sakit di bahagian tertentu badan. Angin sejuk yang masuk ke dalam badan akan menyebabkan masalah seperti sakit kepala, selesema dan batuk. Angin panas pula akan menyebabkan sakit kepada, badan terasa panas, berpelun, merah mata, sakit tekak dan sebagainya.
Amalan bengkung diikuti dengan bertungku dan minum air halia sebagai contoh boleh menghilangkan angin dalam badan selepas bersalin dengan cepat.
Perbaiki sistem peranakan
Selepas bersalin wanita sistem peranakan wanita akan mengambil masa kira-kira selama enam minggu untuk kembali dipulihkan. Bahagian lantai pelvik wanita merupakan bahagian otot yang lemah bagi sesetengah wanita yang amat terkesan selepas wanita melahirkan anak. Kelemahan otot tulang pelvik yang berlaku selepas bersalin akan menyebabkan wanita mengalami masalah di bahagian vagina seperti kesukaran menahan kencing, rasa sakit di bahagian bawah belakang badan, sembelit dan kesakitan semasa melakukan hubungan intim.
Amalan berpantang yang disertai dengan pemakaian bengkung sepanjnag 44 hari akan menguatkan kembali sistem peranakan wanita. Oleh itu anda perlu mendapatkan bengkong bersaiz penuh yang meliputi bahagian abdomen sehingga ke bahagian bawah paha. Dalam tempoh pemakaian bengkong selama 44 hari ini, badan anda akan terikat daripada pergerakan yang boleh mengganggu penyembuhan sistem peranakan yang berlaku beberapa minggu selepas bersalin.
Mengempiskan perut & membentuk tubuh badan
Pemilihan bengkung yang tepat membantu anda mengembalikan perut yang kempis dan membentuk tubuh badan yang langsing selepas bersalin. Bahagian kulit yang menggeleber dan mengendur melibatkan abdomen perut, pinggul dan punggung adalah bahagian yang paling mengalami kesan ini selepas bersalin. Oleh itu ia perlu dikembalikan semula ke kedudukan asal. Pemakaian bengkung akan menolak keseluruhan bahagian yang menggeleber ini ke bahagian yang sepatutnya dalam tempoh 44 hari pemakaian. Malah semakin lama anda memakainya, semakin baik kesan yang dapat dilihat. Anda boleh mencuba bengkung jenis velcro iaitu bengkung moden yang menjadi pilihan untuk mengempiskan perut.
Postur dan otot di bahagian perut hasil dari pemakaian bengkung akan menolaknya ke bahagian dalam. Kesannya lebih baik apabila wanita bersalin berpantang dan menjaga pemakanan dengan baik, bertungku dan membuang angin dalam badan. Namun pastikan pemakaian bengkung tidak terlalu mencengkam sehingga menyukarkan anda untuk bernafas. Juga perlu berhati-hati bagi wanita yang dalam proses penyembuhan dari pembedahan caesarean.
Memperbaiki postur tubuh wanita
Terdapat bengkung yang merangkumi sokongan tubuh dan bahagian atas belakang badan. Bengkung seumpama ini dapat mengelakkan wanita bersalin merasai kesan kesakitan bahagian belakang badan dari rasa penat dan lemah badan yang dialami selepas bersalin. Postur badan yang tidak dijaga dengan betul selepas bersalin akan menyebabkan efek yang tidak sihat kepada tulang belakang anda.
Bengkung yang menyokong tulang belakang ini biasanya dihadirkan bersama dengan tali seumpama tali bra di kedua-dua belah bahagian bahu. Ia akan menutupi bahagian bawah payudara sehingga bahagian bawah paha manakala bahagian belakang pula meliputi bahu sehingga ke bawah paha. Semakin panjang bengkung, semakin baik ia untuk postur badan anda kerana ia menyokong keseluruhan bahagian atas badan sehingga ke paha.
Melancarkan pengeluaran darah nifas
Jangka masa keluarnya darah nifas bagi setiap wanita berbeza di antara satu sama lain. Ada yang melaluinya untuk tempih sepuluh hari. Ada yang mengambil masa sehingga empat ke enam minggu. Darah nifas akan keluar bersama dengan tisu-tisu lain terutamanya tisu uterus. Pengeluaran darah tisu berketul ini adakalanya membuatkan wanita rasa tidak selesa kerana ia menimbulkan rasa sakit dalam abdomen dan vagina.
Pemakaian bengkung yang betul yang diikat dengan padat pada bahagian bawah abdomen akan memberikan keselesaan semasa pengeluaran darah berketul ini. Pengeluaran darah juga akan menjadi lebih lancar.
Baik untuk penyembuhan luka Caesarean
Wanita yang bersalin secara pembedahan Czer tidak perlu risau untuk memakai bengkung selepas melahirkan. Malah ia lebih baik untuk anda. Pemakaian bengkung boleh dilakukan dalam tempoh dua minggu selepas pembedahan. Pemakaian bengkung berkesan untuk mengurangkan kesan pembengkakan dan membantu merapatkan jahitan luka di bahagian abdomen. Dengan cara ini ia mengurangkan pergerakan tisu di bahagian luka sekaligus mempercepatkan proses penyembuhan dan kesakitan wanita. Ia juga menyingkirkan kerisauan anda untuk batuk, bersin dan ketawa secara normal.
Pilihan Editor :