Sedangkan lidah lagikan tergigit, ini pula suami isteri. Itu merupakan antara perumpamaan yang menunjukkan keadaan ‘panas sejuknya’ perhubungan suami isteri.
Dalam perkongsian perhubungan suami isteri, mesti ada rasa tidak puas hati yang terpendam menunggu masa untuk diluahkan atau perasaan marah dan kecil hati apabila tercuit sedikit perasaan akibat kata-kata yang keluar dari bibir pasangan.
Ada pendapat mengatakan, tidak mengapa sekiranya pergaduhan itu dikatakan ‘gaduh-gaduh manja’, perkara seperti ini dapat mempererat hubungan dan membantu melahirkan perasaan yang telah lama terpendam.
Namun, pasangan dinasihatkan agar mengelakkan berlakunya pertengkaran hebat yang menyebabkan perasaan amarah bertambah membara.
Tidak kurang juga rumah tangga yang runtuh akibat gagal mengawal ‘gaduh-gaduh manja’ ini daripada terus merebak dan mengeruhkan lagi hubungan.
Ibarat retak menanti belah, hubungan suami isteri semakin ‘panas’ apabila kerap disulami dengan pergaduhan, lebih teruk apabila ke peringkat menggunakan kekerasan fizikal sehingga mencetuskan kecederaan mahupun kematian.
Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Fatimah Salleh, apabila bertengkar atau bergaduh, pasangan terutama suami tidak boleh menggunakan kekerasan fizikal ke atas isteri.
Biarpun suami dibolehkan mengambil tindakan terhadap isteri, namun bukan cara yang berbentuk kekerasan yang mungkin boleh membawa mudarat kepada isteri.
Terdapat beberapa cara suami mengambil tindakan berkenaan sebagai memberi pengajaran kepada isteri, ini termasuk menjauhkan tempat tidur, memberi nasihat dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, pasangan yang bertengkar tidak boleh menggunakan caci-maki terhadap keluarga atau ibu ayah mertua masing-masing.
Tambahan pula, sekiranya caci-maki itu dilakukan di hadapan anak-anak. Perlakuan itu boleh meracun dan merosakkan pemikiran anak-anak yang membuatkan mereka berburuk sangka dan berfikiran negatif, apatah lagi sekiranya menyebut kekurangan pasangan.
Apatah lagi sekiranya waktu bergaduh, terdapat keganasan fizikal seperti tumbukan dan tamparan yang boleh diingati oleh anak-anak dalam tempoh yang lama.
Juga ketika bergaduh, jangan sesekali kita mengungkit rahsia keluarga di depan anak-anak atau orang-orang luar. Rahsia keluarga hanya menjadi milik pasangan dan tidak boleh dibawa ke pengetahuan anak-anak.
Selain itu, jangan mengungkit apa yang diberikan oleh pasangan yang boleh memanaskan lagi hati mereka.
Usah biarkan rahsia keluarga disebarkan kepada orang lain kecuali orang-orang yang beramanah, orang tengah, orang-orang tua dan sebagainya, dalam usaha untuk meminta bantuan daripada mereka menjernihkan semula hubungan yang terbina.
Pasangan perlu menyimpan rahsia keluarga, jangan sebarkan masalah dan rahsia keluarga kepada orang luar dengan menggunakan aplikasi seperti Facebook dan WhatsApp yang berkemungkinan menyebabkan bertambah banyak masalah mendatang akibat hasutan, fitnah dan sebagainya.
Adalah malang sekiranya ketika bergaduh, pasangan memegang sebarang objek yang boleh pula digunakan untuk mencederakan pasangan di luar sedar mereka,” katanya.
Sekiranya bergaduh di hadapan anak-anak pasti akan membuka keaiban diri dan kesan negatif kepada anak-anak bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Dalam pada itu dia menasihatkan agar pasangan tidak bergaduh terlalu lama.
Katanya, cukuplah dalam waktu yang singkat dan kemudian belajarlah menghormati dan memaafkan diri pasangan demi mengekalkan keutuhan dan keharmonian rumah tangga.
Kebahagiaan rumah tangga tidak datang dengan sendiri, sebaliknya perlu ada usaha daripada kedua-dua belah pihak, suami dan isteri.
Tipulah jika ada pasangan yang tidak pernah bergaduh sepanjang melayari kehidupan berumah tangga.
Berjauh hati, bermasam muka, merajuk, berselisih faham adalah lumrah yang biasa berlaku dalam rumah tangga. Bak kata kalau indah-indah sahaja rumah tangga mana seronok, sesekali bergaduh kemudian berbaik, jangan sampai berpisahlah.
Berikut tiga belas tips dalam membangunkan rumah tangga bahagia:
1) Serasi dalam komunikasi
Kedengaran agak klise. Berkomunikasi dengan pasangan mungkin paling mudah, ya sekadar bercakap apa susahnya. Namun tanpa disedari, banyak masalah besar dalam rumah tangga muncul daripada hal yang paling mudah ini. Salah masa berbicara, intonasi, ketepatan kata-kata, salah faham memahami apa yang dibicarakan dan kurangnya komunikasi, semua itu boleh menimbulkan masalah. Kunci utama agar serasi dalam komunikasi tentu sama-sama memahami akan perbezaan antara suami dan isteri.
2) Kepercayaan pada pasangan
Salah satu rahsia membina kepercayaan dengan pasangan adalah saling berlaku jujur. Selalu jujur dan tunjukkan kejujuran pada pasangan, maka saling percaya akan terbina dengan mudah.
Namun, ada juga orang yang susah sekali untuk mempercayai pasangannya, bahkan memiliki kecurigaan terlalu tinggi dan berprasangka buruk pada pasangannya.
Untuk membina rasa percaya, saling mengingatkan, dan terbuka dengan pasangan adalah penting.
3) Berasa cukup dengan rezeki yang Allah beri
Wang memang bukan segala-galanya tetapi segala-galanya perlukan wang. Ini masalah klasik dalam rumah tangga.
Banyak yang berakhir dengan perceraian hanya disebabkan oleh masalah wang. Justeru, sebagai rahsianya adalah selalu bersyukur, saling menerima dan berasa cukup.
Walau apapun keadaan keluarga anda hari ini tetap bersyukur, tetap tersenyum dalam menjalani hari-hari. Hindari mengeluh dan sering melihat mereka yang kurang beruntung daripada kita.
4) Bina persamaan nilai dalam keluarga
Pernikahan menyatukan dua orang berbeza kelamin, latar belakang keluarga, cara berfikir dan memiliki nilai-nilai yang berbeza – nilai-nilai dalam hidup, dalam rumah tangga, dalam mendidik dan mengasuh anak, dalam pendidikan anak dan sebagainya
Dalam hal ini, kembali melihat visi dan misi pada awal pernikahan, jadikan ini titik persamaan ketika membuat sebarang keputusan dalam rumah tangga.
5) Cinta pada keluarga
Meskipun sudah menikah maka tetaplah berbakti dan membahagiakan keluarga. Baik keluarga suami mahupun isteri. Insya-Allah keberkatan akan membuat rumah tangga menjadi bahagia.
6) Kawal emosi
Mengawal emosi adalah sangat penting walaupun dalam keadaan getir. Emosi yang tidak terkawal akan menjadikan perbincangan untuk kembali berbaik sukar.
Saat mereka merasakan emosi sedang tinggi, hentikan perbincangan. Meneruskannya dalam keadaan tidak ‘waras’ tidak mampu mencapai jalan penyelesaian.
7) Jangan sesekali bergaduh depan anak-anak
Walaupun geram dengan pasangan jangan sesekali ‘berperang’ di depan anak-anak kerana ia boleh memberi impak negatif.
Jika berterusan, anak-anak akan mempungaruhi sikap baran daripada persekitaran rumah.
8) Pilih waktu yang sesuai
Ketika menyelesaikan konflik pastikan anda dan suami sudah berada dalam keadaan ‘cool’ kerana jika salah seorang masih dalam keadaan ‘marah’ tundakan dahulu. Kerana ia bukan boleh menyelesaikan tapi ibarat menambah minyak dalam api.
9) Kenang kembali di saat bahagia
Laut mana tidak pernah bergelora, begitu juga dengan perjalanan rumah tangga, ketika dalam keadaan marah ingatlah anda pernah saling mencintai satu sama lain dan kerana itu anda boleh kekal sehingga hari ini.
Kenang zaman bahagia dan saat dilamun cinta, agar keadaan itu mampu menenangkan keadaan genting yang anda lalui.
10) Jangan tidur dalam keadaan marah
Sebolehnya jangan bawa pergaduhan ke bilik tidur, selesaikan dahulu perasaan kurang puas hati sebelum melangkah ke bilik tidur, anggaplah bilik tidur ‘fight free zon’.
11) Jangan kongsi pergaduhan dengan ibu sendiri atau luah di laman sosial
Perbuatan itu ibarat memalukan diri sendiri dan memburukkan lagi keadaan.
Bayangkan jika ada pihak yang menyakiti orang yang anda sayangi, anda mesti sokong dia kan? Begitulah keadaan si ibu jika mengetahui anak ‘dibuli’ suaminya. Keadaan itu mengeruhkan situasi, maka lebih baik cari penyelesaian sendiri. Begitu juga berkongsi kisah ‘dalam kelambu’ di laman sosial, ia pasti akan memburukkan pandangan orang lain kepada anda dan pasangan.
12) Luah secara terang
Luahkan apa yang terbuku secara berterus terang namun pastikan si dia juga bersedia. Pastikan setiap perbicaraan dilakukan dalam keadaan tenang, jika salah seorang masih tidak ‘cool’ keadaan menjadi lebih huru-hara. Anda sendiri juga perlu rasional dalam setiap tindakan dan percakapan.
13) Bantuan pihak ketiga
Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaian namun jika masih berpanjangan carilah orang lain yang anda rasa hormat untuk dijadikan sebagai orang tengah untuk selesaikan. Jika tiada penyelesaian juga dapatkan bantuan profesional iaitu khidmat kaunseling.
Ingatlah setiap masalah ada penyelesaian, selamat mencuba.