Tingkatkan Kekuatan Rahim Melalui Senaman Kegel

Product Details

Otot dalaman bahagian vagina dan rahim amat penting bagi wanita. Penjagaan otot yang menjadi bahagian sensitif bagi wanita sebenarnya lebih mudah dilakukan iaitu melalui sejenis senaman dalaman dipanggil senaman kegel. Jika penjagaan otot luaran menekankan aktiviti kecergasan seperti joging dan bersenam yang sering menyebabkan anda penat, penjagaan otot vagina dan rahim lebih mudah dan tidak membebankan.

Senaman kegel merupakan kaedah tradisional khusus untuk penjagaan otot lantai pelvik. Kemerosotan otot pada bahagian lantai pelvik akan memberi kesan kepada wanita. Antaranya kesukaran menahan kencing serta gangguan semasa aktiviti seksual.

Punca & Kesan Kemerosotan Lantai Pelvik Kepada Wanita

Secara ringkasnya, kemerosotan otot lantai pelvik biasanya berlaku selepas wanita mengandung dan bersalin. Antara kesan yang dirasai ialah berlaku lelehan urin semasa melakukan hubungan seks serta kesukaran menahan kencing untuk tempoh masa yang lama.

Selain itu faktor lain seperti obesiti, peningkatan umur dan gemar mengangkat benda berat akan memberikan tekanan kepada otot dalaman rahim.

Untuk mengatasi masalah ini, wanita perlu kerap melakukan senaman kegel. Kaedah tradisional yang tidak memerlukan kos ini terbukti berkesan menguatkan otot lantai pelvik. Amalan ini menjadi pilihan wanita hampir di seluruh dunia termasuk masyarakat di negara barat.

Apakah Itu Senaman Kegel ?

Senaman kegel adalah senaman otot yang menguatkan dan mengikat otot utama di bahagian pelvik. Cara senaman ini dilakukan adalah melalui kaedah kemutan bahagian otot lantai pelvik. Kaedahnya sama seperti ketika anda menahan kencing secara kemutan bahagian vagina bagi mengelakkan air kencing daripada keluar.

Pada asasnya, senaman kegel boleh dilakukan oleh lelaki dan wanita kerana anatomi kedua-dua jantina ini mempunyai otot lantai pelvik. Peranannya dilihat paling penting terhadap fungsi sokongan pundi kencing dimana ia membantu kita menahan kencing sebelum ke tandas.

Terdapat beberapa kaedah bagi melakukan senaman kegel. Bahagian ini akan dijelaskan dalam bacaan seterusnya selepas kami menerangkan gambaran sebenar mengenai senaman kegel.

Kelebihan Senaman Kegel

Senaman kegel sebenarnya merupakan satu kaedah penyembuhan otot lantai pelvik bagi wanita selepas melahirkan anak. Senaman kegel akan menyokong semula kelemahan pada otot rahim wanita, pundi kencing dan usus. Sekiranya otot bahagian lantai pelvik lemah, organ-organ di bahagian pelvik termasuk pundi kencing, rahim, vagina, rektum dan usus kecil akan ‘jatuh’.

Tanda Kemerosotan Otot Lantai Pelvik

Apabila otot lantai pelvik semakin lemah, wanita akan merasai tanda atau simptom yang menyebabkan ketidakselesaan badan badan mereka. Ini disebabkan ‘kejatuhan’ pada organ dalam badan sekitar pelvik. Antara simptomnya adalah :

  • Rasa tekanan di bahagian pelvik
  • Rasa sakit di bahagian bawah belakang badan
  • Rasa sakit ketika melakukan hubungan seks
  • Rasa seperti sesuatu keluar dari vagina
  • Sukar tahan kencing
  • Sembelit
  • Pendarahan di bahagian vagina
  • Mudah terkencing apabila batuk, bersin dan ketawa dengan kuat

Tanda ini bergantung kepada organ yang mengalami ‘kejatuhan’. Sebagai contoh jika organ pundi kencing yang jatuh, wanita tersebut akan mengalami masalah menahan kencing dan sering ‘tertiris’. Seseorang akan merasai masalah sembelit jika organ rektum jatuh.

Bolehkan Senaman Kegel Meningkatkan Prestasi Seksual ?

Aktiviti seksual melibatkan bersama bahagian otot lantai pelvik. Pengecutan berirama lantai pelvik akan berlaku semasa aktiviti seks dilakukan. Apabila kekuatan otot di bahagian lantai pelvik diperbaiki melalui senaman kegel, kepuasan perhubungan intim dapat ditingkatkan di antara suami dan isteri.

Wanita akan merasai kekuatan otot di bahagian vagina hasil dari senaman kegel. Senaman iini sekaligus dapat membaiki pengaliran darah menjadi lebih baik di bahagian tersebut. Salah satu tanda kemerosotan otot vagina adalah kurangnya sensitiviti terhadap sentuhan yang menggalakkan pembukaan vagina semasa perhubungan intim. Ini disebabkan lemahnya kekuatan otot di bahagian lantai pelvik.

Cara Betul Melakukan Senaman Kegel

Kenalpasti kedudukan otot yang betul

Pergi ke tandas dan ikuti langkah ini untuk mencari kedudukan otot lantai pelvik. Caranya adalah dengan menghentikan aliran kencing semasa membuang separuh dari air kencing. Anda sendiri dapat merasai berlaku kemutan di bahagian otot semasa air kencing dihentikan. Itulah sebenarnya kedudukan otot lantai pelvik seorang wanita.

Perlu diberi perhatian bahawa langkah menghentikan air kencing semasa membuang air kecil tidak digalakkan selalu. Menahan kencing tidak baik untuk kesihatan organ pundi kencing anda.Ia mungkin boleh menyebabkan penyakit batu karang. Jadi hanya lakukan langkah ini untuk tujuan pembelajaran sahaja.

Menggunakan jari yang bersih

Cara ini mungkin hanya sesuai bagi wanita yang telah berkahwin. Kaedah ini memerlukan anda memasukkan jari bersih ke bahagian dalam vagina. Anda akan merasai pengucupan otot di sekitar jari anda. Langkah menggunakan jari ini tidak digalakkan kerana ia mungkin boleh menyebabkan jangkitan terutama jika jari dalam keadaan tidak bersih semasa dimasukkan dalam vagina.

Kemutan dalam kiraan 10 saat

Tahan kemutan otot antara tempoh masa tiga sehingga sepuluh saat dan lepaskan kemutan dalam kiraan tiga saat. Anda boleh melakukan senaman ini sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Lakukan ini dalam keadaan baring semasa badan dalam keadaan releks.

Jadikan sebagai rutin senaman harian

Kesan senaman otot lantai pelvis ini tidak akan memberi kesan jika dilakukan sekali sekala. Cara terbaik adalah melalui amalan rutin setiap hari lebih daripada sekali sehari. Senaman ini boleh juga dilakukan selepas anda batuk atau bersin dan semasa melakukan aktiviti mengangkat objek berat bersaiz besar.

Kosongkan pundi kencing sebelum senaman

Pundi kencing mestilah dalam keadaan releks dan kosong sebelum melakukan senaman. Pastikan anda membuang air kecil sebelum senaman ini dilakukan.

Bila Waktu Sesuai Melakukan Senaman Kegel ?

Senaman kegel boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira posisi sama ada dalam keadaan baring, berdiri atau duduk. Namun, sebaik-baiknya adalah ketika anda sedang baring kerana posisi ini membuatkan anda lebih tenang dan releks.

Tanda Otot Lantai Pelvik Dipulihkan

Hasil dan kesan dari senaman kegel berbeza di antara individu. Kesannya mungkin dirasai dalam tempoh hanya beberapa hari bagi sesetengah wanita. Namun jangan kecewa jika ia mengambil masa yang lebih lama untuk dipulihkan. Anda boleh merasai dan mengenalpasti beberapa tanda positif hasil dari senaman kegel. Antaranya :

  • Boleh menahan kencing dengan baik sebelum ke tandas tanpa tertiris
  • Kekerapan ke tandas berkurangan
  • Kurang kesan basah pada bahagian seluar dalam.
  • Peningkatan kepuasan dalam aktiviti seksual bersama suami atau isteri.

Adakah Terdapat Cara Lain Menguatkan Otot Dalaman Wanita?

Selain fokus dengan rutin harian melalui senaman kegel, anda tidak boleh mengabaikan faktor lain yang menyumbang kepada punca berlakunya kelemahan otot sekitar lantai pelvis. Salah satunya ialah obesiti. Menurunkan berat badan dengan mengamalkan diet pemakanan yang sihat dan melakukan senaman adalah cara terbaik mengekalkan sistem dalaman badan yang sihat.

Amalan pemakanan yang sihat dapat mengelakkan daripada masalah sembelit. Sembelit juga meruakan salah satu punca berlakunya kemerosotan otot lantai pelvik. Jadi, mengelakkan sembelit melalui diet pemakanan yang sihat adalah langkah yang sihat untuk anda.

Berhenti dari merokok yang menyebabkan seseorang itu batuk. Terlalu kerap batuk akan meningkatkan kelemahan pada otot lantai pelvik.

Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...