Tidak semua orang berkebolehan untuk mengapungkan diri dan berenang dengan cekap di dalam air. Mereka yang mampu berenang sehingga berminit-minit lamanya tanpa tenggelam sememangnya beruntung kerana dengan kebolehan ini, mereka boleh membakar kalori dengan selesa di dalam air tanpa perlu berpeluh! Di saat orang lain terpaksa bermandi peluh berjoging, bersenam dan angkat berat di pusat gimnasium untuk membakar kalori, mereka dengan selesa boleh berenang tanpa perlu berperang dengan kepanasan badan akibat peluh yang keluar dari hujung kepala sehingga hujung kaki.
Jadi bagi anda yang ingin membakar kalori dengan selesa, mari kita sama-sama belajar berenang sehingga mahir. Dengan ini dapatlah kita mempelbagaikan senaman untuk membakar kalori dalam badan secara maksima secara lebih releks.
Berapa Banyak Kalori Dapat Dibakar Melalui Berenang
Apabila berenang, metabolisma badan kita akan meningkat. Peningkatan metabolisma ini seterusnya akan menentukan kadar kalori yang dibakar untuk menghasilkan tenaga dalam badan. Jadi, untuk menentukan berapa banyak nilai kalori yang dibakar semasa berenang, ianya terjawab melalui beberapa faktor iaitu jantina, berat badan, jangka masa berenang, bentuk renang dan kepantasan seseorang semasa berenang.
Sudah pasti jumlah pembakaran kalori ini berbeza bagi setiap individu. Secara kasarnya, mereka yang mempunyai berat badan sekitar 60 kilogram, berenang gaya bebas dengan pantas selama satu jam mampu membakar sehingga 590 kalori.
Nilai pembakaran kalori ini semakin meningkat dengan bertambahnya berat badan seseorang. Jadi, semakin tinggi berat badan dan berenang dalam masa satu jam menerusi gaya bebas dengan pantas akan dapat membakar kalori lebih banyak.
Jom Bakar Kalori Di 6 Kolam Renang Awam Sekitar Lembah Klang
Tak ada kolam renang yang luas seperti rumah orang kaya di perkarangan rumah? Itu bukan masalah besar kerana terdapat banyak kolam renang awam disediakan di setiap negeri termasuk di Kuala Lumpur & Selangor.
Mungkin bagi sesetengah orang agak malu untuk berenang di kolam renang awam kerana kebiasaannya, jumlah pengunjungnya agak ramai. Jadi untuk melakukan aktiviti renang di kolam renang awam, anda perlu memilih masa yang sesuai supaya dapat berenang dengan lebih bebas tanpa rasa terganggu.
Bagi mereka yang tidak mahir berenang, ada baiknya anda mengunjungi kolam renang awam semasa keadaan ramai pengunjung. Sekurang-kurangnya ada juga mata yang dapat memerhatikan keselamatan anda semasa berenang.
1. KOMPLEKS RENANG BANDAR TUN RAZAK, KUALA LUMPUR
Dipanggil juga sebagai Kompleks Renang Kuala Lumpur. Ia merupakan kompleks renang orang awam yang terletak di Bandar Tun Razak, KL. Kolam renang di sini dibahagiakan untuk tiga kategori iaitu kategori dalam untuk aktiviti menyelam skuba, kolam renang kanak-kanak dan kolam renang kedalaman sederhana. Harga untuk bayaran masuk di sini agak murah memandangkan ia kolam renang awam yang telah lama.
Walaupun lama, kemudahan seperti bilik mandi dan tandas serta kolam renang sentiasa dipastikan dalam keadaan baik dan terjaga oleh pihak berwajib. Saiz kolam renang di sini juga luas seperti kolam renang yang digunakan untuk acara renang dalam pertandingan. Mereka turut menyediakan tempat letak kereta dan tempat duduk penonton yang boleh menyaksikan dari kedudukan atas. Kolam renang ini dibuka setiap hari termasuk semasa cuti umum.
Waktu buka :
Ahad – Jumaat (2.00 petang – 5.00 petang & 6.00 petang – 9.00 malam)
Sabtu, Ahad & Cuti Umum (9.30 pagi – 12.30 tengah hari , 2.00 petang – 5.00 petang & 6.00 petang – 9.00 malam)
Bayaran masuk :
Antara RM1.00 – RM3.00 pagi setiap orang, dewasa dan kanak-kanak
2. PUSAT AKUATIK NEGARA BUKIT JALIL
Menyediakan kemudahan kolam renang untuk orang awam dengan fasiliti terbaik dan selesa. Antara kemudahan yang disediakan ialah bilik mandi dan persalinan, tandas, ruang lobi untuk VIP dan bilik persidangan media. Kolam renang ini sentiasa menjadi pilihan dalam pelbagai acara renang peringkat negara dan dunia. Pada hari biasa ia turut dibuka untuk kunjungan dan kegunaan orang awam.
Menyediakan saiz kolam renang bertaraf olimpik untuk latihan renang. Kolam renang di sini sesuai bagi perenang mahir yang ingin menjalani latihan renang.
Waktu buka :
Isnin – Jumaat (8.00 pagi – 10.00 pagi, 10.30 pagi – 12.30 tengah hari, 1.30 petang – 3.30 petang, 6.30 petang – 8.30 malam dan 9.00 malam – 11.00 malam)
Sabtu & Ahad (8.30 pagi – 10.30 pagi, 11.00 pagi – 1.00 petang, 2.00 petang – 4.00 petang, 6.00 petang – 8.00 malam dan 8.30 malam – 10.30 malam)
Bayaran masuk :
Percuma untuk OKU & Waarga Emas, RM4 untuk kanak-kanak dan RM6 untuk orang dewasa
3. KOMPLEKS KOLAM KELANA JAYA
Terletak di Kelana Jaya, tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur. Ia merupakan kolam renang awam di bawah kendalian Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Terdapat kemudahan kolam renang yang sangat sesua untuk aktiviti rekreasi bersama keluarga. Ada juga yang menjadikan tempat ini sebagai kolam renang untuk kelas berenang untuk orang awam. Ramai kalangan ibu bapa yang gemar membawa anak mereka yang masih kecil untuk mandi manda dan belajar berenang terutama pada hujung minggu.
Waktu buka :
Isnin – Ahad (9.00 pagi – 12.00 tengah hari, 2.00 petang – 5.00 petang dan 6.00 petang – 9.00 malam)
Alamat :
Jalan Stadium SS 7/15, Ss 7, 47301 Petaling Jaya
4. KOMPLEKS SUKAN BANGSAR
Kompleks sukan ini menyediakan kolam renang berbumbung dan tidak berbumbung yang selesa untuk orang awam. Pusat sukan dan kolam renang awam ini popular di kalangan warga KL yang ingin melakukan aktiviti sukan. Ia juga turut menjadi pilihan ibu bapa yang ingin anak mereka menikmati keseronokan berenang di kolam pada harga yang berpatutan.
Waktu buka :
Isnin – Sabtu (9.30 pagi – 8.00 malam). Tutup pada hari Ahad
Bayaran masuk :
Antara RM3 sehingga RM5 untuk seorang.
Alamat :
3, Jalan Terasek, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
5. PJ PALMS SPORT CENTRE
Pusat sukan dan kolam renang ini adalah antara tempat rekreasi sukan bagi kalangan penduduk di sekitar Lembah Klang. Lokasi ini terletak tidak jauh dari Stesen LRT Taman Jaya iaitu hanya lima minit sahaja dengan berjalan kaki. Terdapat kolam renang yang kedalamannya sesuai dan selamat untuk kanak-kanak. Selain itu, pusat ini turut menawarkan kelas latihan berenang bagi mereka yang berminat untuk belajar berenang sehingga mahir termasuk kanak-kanak.
Waktu buka :
Isnin – Ahad ( 8.00 pagi – 10.00 malam)
Bayaran masuk :
Antara RM3 sehingga RM15 bergantung kepada hari dan waktu.
Alamat :
Lorong Sultan, Seksyen 52, 46200 Kuala Lumpur, Selangor
Laman web :
http://www.pjpalms.com/pool.html
6. KOMPLEKS 3K
3K merupakan singkatan bagi Kompleks Kemudahan Kemasyarakatan. Ia menyediakan kemudahan gelanggang untuk bersukan bagi orang awam termasuk menyediakan kemudahan kolam renang. Anda boleh membawa keluarga berenang di sini termasuk semasa hari hujan kerana kemudahan kolam renang kanak-kanak dan dewasa berbumbung. Bagi kanak-kanak pula, kolam renang khas kecil dengan kedalaman yang sesuai turut disediakan.
Kolam renang ini mungkin agak ramai pada hujung minggu memandangkan ia menjadi salah satu tumpuan keluarga yang menetap di KL dan Selangor.
Waktu buka : Isnin – Ahad ( 9.00 pagi – 9.00 malam)
Bayaran masuk : Sekitar RM 3 sehingga RM5
Alamat : 3, Jalan SS 14/4b, Ss 14, 47500 Subang Jaya, Selangor