Mudahnya Mengajar Si Kecil Mengira Nombor. Anda Pun Boleh!

Product Details

Memperkenalkan dunia nombor kepada anak-anak sebenarnya boleh dilakukan sebelum mereka melangkah ke alam tadika iaitu sekitar 5 sehingga 6 tahun. Kebanyakan kanak-kanak akan mampu mengira nombor dengan lancar paling tidak dari kiraan satu sehingga sepuluh sebaik sahaja belajar ke sekolah tadika. Teknik pengajaran guru-guru tadika yang bersepadu dan berstrategi dalam memperkenalkan dunia nombor kepada si kecil menyebabkan ibu bapa banyak bergantung kepada guru-guru tadika dalam mengajar anak mereka mengira dan mengenal nombor.

Sebenarnya mengajar anak mengira nombor tidak sukar seperti yang dibayangkan oleh kebanyakan ibu bapa. Ramai kanak-kanak yang sebenarnya sudah berkebolehan mengira nombor hasil dari adaptasi aktiviti mereka bersama ibu bapa sebelum mereka memasuki dunia tadika. Walaubagaimanapun, kebanyakan mereka akan mula mengenal setiap bentuk nombor setelah melangkah ke alam tadika.

Bilakah Usia Paling Sesuai Mengajar Nombor Kepada Si Kecil?

Bila saja anak anda mula melangkah ke usia satu tahun. Semakin awal anda mengajar si kecil mengenal nombor, tentulah semakin cepat mereka dapat membilang nombor dengan mulut dan mengenal bentuk nombor-nombor. Tidak usah fikir untuk mengajar sebutan nombor yang susah-susah sehingga angka puluh dan ratus. Bilangan 1,2,3,4 dan 5 sahaja sudah memadai untuk usia seawal itu.

Mengajar Si Kecil Mengira Nombor Di Rumah

Sebelum atau semasa anak anda mula memasuki alam taska dan tadika, anda sudah boleh memperkenalkan dunia nombor ke tahap yang lebih mencabar. Ikuti tips-tips di bawah yang anda boleh terapkan ketika mengajar anak-anak mengenal nombor terutamanya ketika di rumah.

Perlu anda ketahui bahawa kebanyakan tips yang diberikan ini adalah teknik sama yang diajar di sekolah taska dan tadika.

1.Mengira mengikut rentak irama muzik

Kanak-kanak paling mudah belajar sesuatu melalui pendengaran iaitu irama muzik. Teknik ini mudah dipelajari oleh kanak-kanak kerana ia mewujudkan suasana riang dalam pembelajaran. Terdapat pelbagai video irama mengira nombor untuk kanak-kanak sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang boleh di temui di saluran popular seperti Youtube. Ibu atau bapa yang mengajar juga boleh ikut menyanyi dan mengira nombor bersama si kecil. Sambil itu, anda boleh menunjukkan kesemua angka tersebut melalui petunjuk jari jemari anda kepada mereka.

2. Nombor dalam aktiviti seharian

Biasakan mereka dengan sebutan pelbagai nombor melalui aktiviti sehari-hari. Seperti membilang coklat kegemarannya, menyebut waktu jam ketika mereka bangun pagi, mengira jari-jemari dan sebagainya. Tidak lupa juga ketika sedang makan seperti membilang 1,2,3 sebelum menyuap makanan ke dalam mulut mereka. Apa yang penting ialah anda membiasakan mereka dengan sebutan nombor-nombor yang mudah.

3. Menulis ilustrasi objek menerusi papan hitam / putih / buku latihan

Hari ini anda boleh dapatkan pelbagai buku latihan mengenal nombor untuk si kecil yang sesuai mengikut peringkat usia mereka. Perhatikan bagaimana buku-buku tersebut meenggabungkan ilustrasi lukisan objek seperti ikan, buah, orang dan pelbagai lagi objek berwarna yang menjana minda kanak-kanak. Objek ini dilukis untuk menggalakkan mereka mengira nombor. Sebagai contoh satu biji epal di tambah dengan 2 biji epal bersamaan dengan berapa?

Anda juga boleh melukisnya menerusi papan hitam atau putih. Galakkan mereka untuk mengira menggunakan jari dan menulis sendiri jawapan di papan hita. Tidak mengapa seandainya mereka salah dalam mengira. Setiap kanak-kanak akan mudah belajar apabila mereka mengetahui kesalahan dalam mengira.

4. Memperkenalkan bentuk nombor yang mudah melalui kad imbasan nombor

Angka antara 1 sehingga 9 adalah bentuk nombor paling mudah melekat dalam minda anak anda. Gunakan teknik kad imbasan atau flash card yang memaparkan nombor-nombor secara jelas, besar, menarik dan berwarna. Kanak-kanak lebih mudah tertarik apabila melihat warna ceria kerana ia lebih menarik pada pandangan seorang kanak-kanak. Imbasan kad bernombor ini diulang-ulang sehingga mereka mengenal beberapa nombor.

Apabila anda mula yakin mereka sudah mula menghafal bentuk nombor, cara seterusnya adalah anda menyebut nombor dan membiarkan mereka memilih kad yang tepat mengikut apa yang mereka telah berjaya hafal. Teknik ini akan memakan sedikit masa dan ia perlu diulang pada setiap hari supaya memudahkan hafalan mereka.

5. Menghafal nombor mengikut urutan

Sama ada anda sedar atau tidak, kebanyakan kanak-kanak mengalami masalah membaca nombor mengikut urutan yang betul. Ini sering terjadi apabila anda meminta mereka membacakan nombor seorang diri di hadapan orang-orang yang dikenalinya.

Kaedah hafalan melalui sebutan akan menjadi lebih kukuh melalui ilustrasi dan latihan. Anda boleh gunakan teknik ‘dot’ iaitu menyuruh mereka melukis garisan pada tiitik-titik nombor mengikut urutan yang tepat. Contohnya adalah seperti dalam gambar di bawah. Titik nombor ini tidak perlu dilukis secara berurutan. Anda boleh menyusunnya secara berselerak dan lihat jika si kecil mampu menghubungkan titik nombor mengikut turutan yang tepat.

6. Latihan mengira menggunakan jari tangan

Teknik tradisional yang sukar dipisahkan bagi kanak-kanak yang baru mula mengenal nombor. Kaedah menutup beberapa jari dan mengangkat beberapa jari tangan lalu meminta mereka menyebut bilangan jari yang diangkat boleh dilakukan beberapa cara. Antaranya membuka jari satu demi satu secara urutan supaya mereka boleh membilang satu demi satu. Cara kedua adalah membuka jari secara rawak sama ada satu atau beberapa jari untuk mengenalpasti kepantasan mereka dalam menyebut sesuatu nombor.

7. Nombor berasaskan titik dan di atas kad imbasan

Terdapat pelbagai kaedah paparan nombor pada kad imbasan selain daripada bentuk sebenar sesuatu nombor. Salah satunya ialah paparan bilangan titik atau objek sama dalam kad imbasan. Ia dapat menentukan sama ada si kecil mampu mengenalpasti bilangan nombor berdasarkan bilangan titik atau objek dalam kad sama yang dipaparkan.

8. Menggalakkan mereka menyebut nombor

Tulis beberapa nombor di kertas. Galakkan mereka mengikuti sebutan nombor yang anda ajarkan. Teknik sebutan nombor ini akan mengambil masa terutama bagi bayi yang masih belajar untuk bercakap. Ajar sebutan nombor mengikut suku kata secara perlahan-lahan.

Kaedah ini mungkin akan menyebabkan kanak-kanak cepat bosan. Cara terbaik adalah memilih waktu yang sesuai seperti ketika anda membawa kanak-kanak keluar beriadah di tempat-tempat yang mempunyai paparan nombor, ketika mereka menonton televisyen dan sebagainya. Terdapat pelbagai cara mengajar sebutan nombor yang tidak membosankan kanak-kanak.

9. Membilang nombor mengikut langkah kaki

Ketika keluar berjalan-jalan di tempat-tempat menarik seperti kawasan pantai dan taman permainan. Sambil ibu bapa memimpin kedua-dua belah tangan si kecil, kira bersama-sama kiraan langkah kaki secara perlahan-lahan. Sebut kiraan nombor secara jelas dalam nada yang meriangkan si kecil. Kanak-kanak mudah belajar mengira nombor apabila ibu bapa bersama-sama menemai mereka ketika beriadah.

10. Makanan berbentuk nombor

Siapa sangka dengan makanan pun anda masih boleh mengajarkan nombor kepada si kecil tersayang. Kenalpasti jika terdapat makanan untuk kanak-kanak berbentuk nombor seperti biskut, gula-gula dan snek. Kebiasaanya kanak-kanak lebih tertarik dengan makanan yang berbentuk pelbagai karakter termasuklah nombor-nombor. Susun makanan tersebut di atas pinggan kerana ini lebih menarik minat mereka.

Jika mempunyai kelapangan waktu, para ibu juga boleh mencipta makanan menarik dalam bentuk nombor. Hasil masakan ibu ini akan lebih disukai oleh si kecil ini dan lebih menarik minat mereka untuk belajar mengenal nombor.

Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...