Kes kanak-kanak mati terperangkap di dalam kereta adalah satu kes terpencil yang jarang berlaku di Malaysia. Namun apabila berlakunya kes menyedihkan seperti ini ia menjadi begitu menggemparkan. Apatah lagi ia melibatkan nyawa seorang anak kecil yang membuatkan hati kita berasa pilu. Dari satu sudut masyarakat akan memandang kes ini berpunca dari kelalaian ibu bapa yang tidak seharusnya berlaku. Adalah suatu perkara normal apabila kita tertinggal barang yang penting di dalam kereta. Sudah tentu ia tidak menjadi isu kerana ia hanyalah barang yang tidak bernyawa. Namun bagaimana pula apabila ibu bapa terlupa lalu tertinggal satu makhluk yang bernyawa di dalam kereta?

Lupa Punca Bayi Mati Terperangkap Dalam Kereta

Dari pemerhatian kes yang berlaku di Malaysia, ibu atau bapa hanya menyedari antara 4 ke 8 jam selepas bayi ditinggalkan di dalam kereta dalam keadaan tingkap tertutup dalam hari yang panas. Strok haba dan sesak nafas menjadi punca kematian. Dalam emosi yang sedih, ibu dan bapa kepada mangsa mengakui telah terlupa akan si kecil yang diletakkan dalam kerusi kereta di bahagian belakang tempat duduk.

Tidak dinafikan faktor kelalaian dan lupa adalah satu faktor dan ini adalah salah satu kelemahan manusia yang sukar dinafikan. Lebih-lebih lagi sebagai ibu bapa, mereka tentu melalui kepenatan dalam menguruskan banyak hal setiap hari termasuk urusan kerja, menguruskan rumahtangga, menghantar anak ke pusat jagaan bayi dan sekolah dan pelbagai lagi tugas yang memungkinkan mereka menghadapi kepenatan yang melampau sehingga menyebabkan mereka terlupa beberapa perkara penting termasuk anak.

Langkah Mengelakkan Anak Mati Terperangkap Dalam Kereta

Jadi apa yang kita boleh lakukan adalah mengambil langkah-langkah pencegahan untuk elak kejadian malang ini menimpa ahli keluarga kita. Mari kita lihat beberapa langkah yang boleh kita ambil terutama berkaitan aspek keselamatan.

1. Tempatkan Kerusi Bayi Di Bahagian Depan

Kebiasaanya ibu atau bapa yang memandu bersendirian akan menempatkan kerusi bayi di bahagian belakang dan meletakkan barang-barang lain di tempat duduk sebelah pemandu. Langkah sepatutnya yang diambil adalah mengalihkan terlebih dahulu kerusi bayi ke bahagian tempat duduk di sebelah pemandu setiap kali memandu bersendirian. Jangan pandang remeh langkah ini kerana anda tidak tahu risiko terlupa apabila anda terlalu tergesa-gesa. Anda cuma perlu masa kurang seminit untuk mengalihkan kerusi bayi ke tempat duduk bersebelahan pemandu.

2. Letakkan Barang Penting Bersebelahan Kerusi Bayi

Jika bayi anda diletakkan di tempat duduk belakang, tempatkan barangan penting di bahagian belakang bersebelahan atau berhampiran bayi. Sebagai contoh anda boleh letakkan beg kerja, beg tangan atau lain-lain barangan penting di bahagian tempat duduk belakang bersama bayi. Kebiasaannya kita jarang akan lupa atau meninggalkan barang penting yang mengandungi barang berharga seperti wang, telefon, komputer riba dan sebagainya. Akan tetapi anda juga perlu berjaga-jaga. Elakkan meletakkan barangan ini bersebelahan tingkap. Sebaliknya tempatkan di bahagian bawah tempat duduk namun pastikan ia tidak jauh dari kerusi bayi anda.

3. Kerusi Bayi Dilengkapi Penggera/Sensor

Menyedari banyaknya kes bayi tertinggal dalam kereta, pengeluar kerusi bayi hari ini mula melengkapkan kerusi bayi dengan sistem penggera atau sensor. Sistem ini akan mengeluarkan bunyi amaran jika kerusi tersebut mengesan bayi ditinggalkan dalam kereta selepas kereta dimatikan. Sistem penggera ini akan dibunyikan menerusi telefon pintar iaitu sistem yang dipasang di telefon anda ketika membeli kerusi bayi. Bagi mereka yang mampu, tidak salah jika anda mendapatkan kerusi bayi yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan sebegini.

4. Elakkan Guna Telefon Ketika Memandu

Memandu sambil bercakap di telefon akan meningkatkan risiko anda terlupa terutama di saat anda bercakap ketika keluar dari kereta. Secara automatik otak anda akan lebih tertumpu terhadap perbualan di telefon berbanding dengan menumpukan perhatian kepada bayi yang ditinggalkan di dalam kereta.

5. Letak Kereta Ditempat Yang Senang Dilihat

Pilih tempat letak kereta yang tidak terlalu sunyi atau dilaluan yang mudah dilihat orang ramai. Sebagai contoh elakkan meletak kereta berhampiran dengan dinding atau ruang yang tersorok. Pastikan kiri dan kanan tempat letak kereta anda bersebelahan dengan kereta lain. Langkah ini mungkin akan membuatkan pemandu lain menyedari jika mendapati kanak-kanak ditinggalkan bersendirian dalam kereta.

6. Pastikan Pintu Sentiasa Berkunci

Terutama jika anda meletakkan kereta di hadapan rumah. Sebelum masuk ke dalam rumah setiap kali keluar dari kereta, pastikan pintu kereta telah dikunci. Langkah ini untuk mengelakkan anak-anak anda yang masih kecil daripada masuk ke dalam kereta secara senyap-senyap tanpa disedari oleh orang lain. Adakalanya kanak-kanak suka bermain sembunyi-sembunyi di kawasan rumah. Kereta anda tidak terkecuali daripada menjadi salah satu tempat permainan mereka.

7. Periksa Kereta Jika Mendapati Anak Anda Hilang

Periksa dalam kereta jika mendapati salah seorang di antara anak anda tidak ditemui. Adakalanya kanak-kanak suka bermain jauh dari pengawasan orang dewasa sehingga hilang seketika dari pemerhatian orang dewasa. Jika ini berlaku, pastikan kereta menjadi salah satu lokasi ketika mencari anak anda yang tidak ditemui.

8. Letak Kunci Kereta Ditempat Sukar Dicapai

Bagi mengelakkan kanak-kanak bermain bersendirian dalam kereta juga, pastikan kunci kereta anda sentiasa ditempatkan di sudut selamat yang sukar dicapai oleh tangan anak-anak anda. Ini untuk mengelakkan mereka daripada mengambil kunci dan masuk ke dalam kereta secara senyap-senyap tanpa disedari oleh ibu bapa.

9. Lengkapkan Cermin Kereta Dengan Perlindungan Matahari

Adakalanya memandu pada hari yang sangat panas untuk tempoh masa yang lama akan menyebabkan rasa tidak selesa. Memasang tingkap dengan tinted atau lapisan cermin berwarna hitam untuk memberi lebih keselesaan pada hari yang sangat panas. Selain itu pastikan penghawa dingin kereta berfungsi dalam keadaan baik. Ini untuk mengelakkan bayi daripada mengalami strok haba dan sukar bernafas.

10. Berjaga-Jaga Ketika Kanak-Kanak Tidur Dalam Kereta

Suara kanak-kanak yang sedang bermain atau bayi di sebelah anda adalah satu kelebihan apabila berada di dalam kereta. Namun anda juga harus berjaga-jaga jika mereka tidur dalam kereta. Suara kanak-kanak di dalam kereta ibarat penggera yang menyedarkan anda tetnag kehadiran mereka. Jika mereka tertidur, bermakna penggera itu telah hilang dan anda perlu lebih berwaspada untuk mengelakkan daripada terlupa ketika keluar dari kereta.

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Jika Bayi Terperangkap Dalam Kereta

Mengambil langkah pencegahan tentunya lebih selamat. Namun adakalanya anda tidak mampu mengelakkan perkara ini daripada berlaku disebabkan faktor lupa dan sebagainya. Apa yang perlu anda lakukan bila mendapati anak terperangkap dalam kereta adalah mengambil langkah segera mengeluarkan kanak-kanak dari kereta.

Jika kereta atau tingkap tidak boleh dibuka dan kanak-kanak yang terperangkap tidak mampu membuka kunci kereta, anda boleh ambil langkah berikut untuk menyelamatkan mereka.

  • Hubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan polis atau bomba dengan segera
  • Pecahkan cermin kereta menggunakan objek keras. Pastikan anda memecahkan tingkap yang jaraknya jauh dari kedudukan kanak-kanak untuk mengelakkan serpihan kaca terkena ke arah mereka yang boleh menyebabkan kecederaan.
  • Periksa jika terdapat ruang terbuka di bahagian tingkap. Gunakan objek panjang seperti dawai yang dapat menarik kunci dari dalam kereta.
  • Jika anda tidak berupaya untuk menghubungi talian kecemasan, menjeri dan dapatkan bantuan orang ramai yang paling hampir untuk menolong anda.