Bagi warga Kuala Lumpur dan Selangor, kemegahan bangunan tinggi dan kewujudan pusat membeli belah terkemuka ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Meluangkan masa pada hujung minggu membeli belah dalam suasana berhawa dingin sungguh membuatkan kita rasa selesa. Namun, berjalan-jalan di kawasan taman yang dikelilingi keindahan lanskap bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan hijau juga mampu memberikan terapi minda yang mendamaikan. Ianya menjadi pilihan utama bagi mereka yang berminat menikmati aktiviti riadah mengeluarkan peluh di waktu pagi dan petang. Berekreasi bersama keluarga di taman yang dikelilingi keindahan lanskap mampu menjadi suatu aktiviti yang meriangkan terutama bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil. Sekali-sekala sebagai ibu bapa anda perlu membawa anak-anak ke kawasan taman supaya mereka lebih menghargai keindahan di sebalik berdirinya kemegahan bangunan pencakar langit dan pusat membeli belah seperti di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi anda yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor, ada beberapa taman awam dan berbayar yang menawarkan keindahan lanskap berupa tumbuh-tumbuhan dan pembinaan arca yang menarik untuk dihayati. Mari kita lihat 5 taman di KL & Selangor yang mempunyai lanskap paling indah.

1.Taman Botani Perdana Kuala Lumpur

Dikenali juga sebagai Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Ianya terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Mempunyai lebih daripada 10 daya tarikan lanskap di mana setiap satu tamannya direkabentuk dengan lanskap dan konsep yang berbeza mengikut jenis tumbuhan dan bunga-bungaan. Keluasan keseluruhan tanah ini berjumlah 91.6 hektar. Ia menempatkan pelbagai tarikan yang anda boleh terokai seperti kawasan koleksi pokok-pokok rimba, taman herba, taman orkid, taman rusa dan taman bunga raya.

Taman ini turut dihiasi dengan kawasan tasik yang mengelilingi seluruh taman. Anda boleh menaiki bot yang disediakan mengelilingi tasik. Pengunjung dapat menikmati keindahan dan kesegaran pelbagai tumbuhan tropika yang wujud di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini. Terdapat juga sebuah kanopi indah yang ditempatkan di Laman Perdana. Di sini pengunjung boleh melakukan aktiviti berbasikal, bermain kasut roda, bersenam dan sebagainya.

Pengunjung boleh akses ke taman ini melalui beberapa cara. Antaranya dengan menaiki bas awam RapidKL yang boleh diambil dari stesen LRT Pasar Seni. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan bas pelancong Hop-On-Hop Off  menerusi laluan laluan hijau dan berhenti pada perhentian nombor 23. Anda juga boleh mengambil perkhidmatan seperti teksi.

Waktu buka : 7.00 pagi – 8.00 malam

Alamat : Jalan Kebun Bunga, Tasik Perdana, 55100 Kuala Lumpur

Laman Web : http://www.klbotanicalgarden.gov.my


2. KLCC Park

Terletak di pusat konvensyen terkemuka di Kuala Lumpur iaitu KLCC. Disebalik kemegahan dua menara Petronas yang tersergam megah, wujudnya taman lanskap yang indah untuk kunjungan orang awam secara percuma. Keluasan taman ini meliputi 20 hektar dan telah dibangunkan sejak tahun 1998. Ia merupakan taman lanskap awam yang dibangunkan seiring dengan pembinaan menara Petronas dimana ia bertujuan mengindahkan lagi salah satu tarikan pelancong di Kuala Lumpur ini.

Taman awam KLCC ini walaupun terletak di sebalik bangunan pencakar langit, ia tetap memelihara keindahannya melalui tanaman tumbuhan hijau dan bunga-bungaan dalam lanskap yang tersusun indah. Kombinasi taman dan beberapa binaan arca mengindahkan lagi taman KLCC ini.

Taman KLCC ini turut menyediakan kolam mandi kanak-kanak yang dihiasi dengan air terjun buatan. Selain itu terdapat kawasan taman permainan kanak-kanak yang luas untuk ibu bapa membawa anak-anak mereka bermain. Taman KLCC ini sesuai untuk semua jenis aktiviti termasuk bersenam dan berjoging. Ia juga berbaloi untuk aktiviti fotografi dan videografi yang boleh disimpan sebagai kenangan. Lanskap taman KLCC yang indah dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan hijau. Ada diantaranya yang berusia puluhan tahun. Pengunjung turut berpeluang mengenali nama-nama pokok menerusi label yang disediakan.

Pada waktu malam, pengunjung berpeluang menghayati persembahan air pancut berirama dengan persembahan lampu berwarna-warni. Kebanyakan pengunjung akan menghabiskan masa di sini sehingga waktu malam untuk melihat persembahan air pancut yang memukau.

Waktu Buka :7.00 pagi – 10.00 malam

Alamat : Jalan Ampang, Kuala Lumpur City Centre (KLCC)

Laman Web : https://www.suriaklcc.com.my/attractions/klcc-park/


3. ASEAN Sculpture Garden

ASEAN Sculpture Garden merupakan taman arca yang terletak di Kuala Lumpur, bersebelahan dengan Tugu Peringatan Negara. Ia merupakan taman indah yang dihiasi dengan lanskap indah dari tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan dan arca yang direka oleh artis-artis popular di Asean iaitu dari negara Singapura, Filipina, Thailand, Indonesia dan Brunei. Arca ini dihasilkan daripada pelbagai jenis material seperti kayu, batu marmar, besi dan kaca. Ambil masa anda selama lebih kurang 30 minit dan hayati keunikan taman botani indah yang dihiasi arca unik yang pelbagai tema dan cerita di sebaliknya.

Waktu Buka : 24 jam

Alamat : Asean Sculpture Garden, Pesiaran Sultan Salahhudin, Kuala Lumpur, 50480 Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur


4. Taman Botani Shah Alam

Taman Botani Shah Alam terletak di Shah Alam, Negeri Selangor. Dahulunya ia dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah. Taman ini diwujudkan bagi tujuan pendidikan, kajian saintifik, pembangunan botani, hortikultur serta lain-lain yang berkaitan dengan pertanian. Ia mempunyai beberapa taman yang menarik seperti taman buah-buahan tropika, taman padi, taman herba dan ubat-ubatan, taman empat musim dan taman haiwan. Pengunjung berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan termasuk yang mencabar ketahanan fizikal dan mental dalam suasan taman yang dikelilingi kehijauan tumbuh-tumbuhan tropika. Lanskapnya begitu tersusun dan terjaga demi memastikan keindahan taman botani yang terpelihara dari pembangunan. Untuk masuk ke Taman Botani Shah Alam, pengunjung dikenakan caj yang murah dan berpatutan untuk tujuan penjagaan kawasan taman.

Waktu Buka : Selasa – Ahad (Tutup hari Isnin), 7.30 pagi – 4.30 petang

Alamat : Taman Botani Negara, Seksyen 8, 40000 Shah Alam, Selangor

Laman Web : http://tbnsa.gov.my


5. Taman Botani Putrajaya

Taman botani yang menawarkan keindahan lanskap yang indah ini terletak di Putrajaya iaitu Presint 1, Putrajaya, Kuala Lumpur. Taman seluas 93 hektar ini mempunyai pelbagai daya tarikan seperti tasik buatan yang luas, jambatan kanopi, taman bunga dan pastinya kawasan ini dikelilingi dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan dan biasan pelbagai jenis bunga berwarna warni.

Ia turut menyediakan bilik pameran, restoran dan kedai cenderamata. Pengunjung boleh menghayati pelbagai beberapa lagi keindahan taman seperti Sun Garden yang menempatkan pelbagai jenis bunga-bungaan. Di taman Palm Hill pula pengunjung boleh menyaksikan pokok kelapa sawit dari hampir 50 spesis yang berbeza.

Pengunjung boleh melawat secara percuma atau jika anda memerlukan kenderaan untuk mengelilingi kawasan taman, anda boleh sahaja menaiki perkhidmatan tram pada harga tidak lebih daripada RM10. Anda juga boleh melakukan aktiviti menarik seperti berbasikal dan menaiki bot yang di sewa. Bagi yang ingin mengeluarkan peluh pula anda boleh berjoging dan bersenam.

Waktu Buka : Rabu – Isnin (Tutup hari Selasa), 9.00 pagi – 12.00 tengah hari dan 2.00 petang – 5.00 petang

Alamat : Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, Putrajaya, Selangor, 62000, Putrajaya