Setiap orang dilahirkan dengan dikurniakan rambut. Sebaik sahaja seorang bayi keluar dari perut ibunya, pasti kita akan dapat melihat rambutnya yang lebat dan hitam. Walau bagaimanapun, tidak semua bayi yang dilahirkan memiliki rambut hitam dan lebat. Ada yang lahir dengan rambut yang nipis dan sedikit. Amalan pemakanan ibu semasa mengandung sedikit sebanyak mempengaruhi kesuburan rambut bayi semasa dalam kandungan. Kadar pertumbuhan rambut tidak sama antara seorang bayi dengan bayi yang lain. Secara khususnya, rambut akan tumbuh antara 0.3 hingga 0.4 milimeter setiap hari. Ini bermakna, dalam sebulan rambut hanya akan tumbuh hampir satu sentimeter sahaja.

Amalan Bercukur Rambut

Bagi masyarakat Melayu yang beragama Islam, terdapat satu amalan iaitu cukur rambut atau jambul akan dilakukan selepas kelahiran bayi iaitu dalam tempoh seminggu selepas kelahiran. Mengikut kepercayaan, amalan tersebut akan membuatkan rambut baharu akan tumbuh dengan lebat selepas sebulan dan pertumbuhannya menjadi sihat. Walau bagaimanapun, itu hanyalah satu kepercayaan dan setakat ini tidak ada bukti secara saintifik yang boleh dibuktikan kesajhihannya. Ada juga sesetengah bayi yang selepas menjalani upacara cukur rambut ini, masih tidak tumbuh seperti yang diharapkan oleh ibu bapanya. Sudah pastilah setiap ibu bapa mengimpikan anak-anak mereka terutamanya si kecil perempuan yang comel, manja dan lincah bergaya memiliki rambut panjang, hitam dan lebat apatah lagi ditambah dengan aksesori rambut yang bersesuaian.

Faktor Pertumbuhan Rambut

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pertumbuhan rambut anak-anak. Antaranya ialah faktor genetik dan keturunan terutamanya dari ibu bapa dan ahli keluarga yang terdekat. Selain itu, yang paling utama ialah faktor pemakanan yang paling banyak menyumbang kepada kadar pertumbuhan dan kesuburan rambut seseorang individu, bukan sahaja kepada anak-anak kecil, malah kepada orang dewasa juga.

Golongan dewasa didapati paling banyak mengalami masalah keguguran rambut sehingga tahap kronik. Oleh itu, dari peringkat kanak-kanak lagi, ibu bapa perlu menitikberatkan penjagaan rambut si kecil. Untuk mendapatkan rambut yang lebat, hitam dan cantik, pemakanan yang seimbang dan sihat perlu diberikan kepada anak-anak semasa peringkat bayi iaitu dari umur enam bulan ke atas. Antara sumber makanan yang boleh menggalakkan proses pertumbuhan rambut si kecil ini ialah sumber yang mengandungi zat protein seperti ikan, telur, kekacang dan susu.

Sumber vitamin seperti ubi keledek yang mengandungi kebaikan vitamin A dan beta karotena menggalakkan pertumbuhan rambut dan kulit kepala juga akan sihat. Ubi keledek yang direbus lembut boleh diberikan kepada anak-anak kecil kerana rasanya yang manis dan sedap. Manakala, kuning telur bukan sahaja kaya dengan protein tetapi juga kaya dengan sumber biotin dan asid lemak omega 3 yang sangat membantu menggalakkan kesuburan dan pertumbuhan rambut dengan lebih cepat. Sumber makanan dalam bentuk kekacang juga sangat baik untuk mendapatkan rambut yang sihat dan cantik. Kanak-kanak perlu diberikan makanan ini dari kecil supaya dapat memastikan kesuburan rambut mereka. Antaranya ialah biji bunga matahari dan badam yang kaya dengan sumber vitamin E dan biotin yang membantu meningkatkan aliran darah di kawasan kulit kepala. Dengan ini rambut akan tumbuh dengan cepat.

Begitu juga dengan kacang merah yang kaya dengan sumber zat besi dan zink. Kedua-duanya sangat baik untuk kesihatan kulit kepala. Zink baik untuk mencegah keguguran rambut. Selain itu, ikan salmon dan minyak ikan juga sangat baik kerana mengandungi omega 3, sayuran seperti bayam dan tomato pula memiliki zat besi dan semua ini merupakan sumber pemakanan yang menyumbang kepada kesuburan rambut kanak-kanak.

10 Tips Melebatkan Rambut Si Comel

Selain daripada pemakanan yang seimbang, ibu bapa juga boleh mengamalkan beberapa petua dan tips supaya rambut si kecil lebat, hitam dan cantik. Antaranya ialah:

1. Madu

Madu merupakan bahan semulajadi yang membantu menyihatkan kulit kepala. Kandungan nutrisinya sangat bermanfaat bukan sahaja kepada tubuh badan, malah kepada kesihatan rambut. Caranya dengan mengambil beberapa titik madu dan disapukan di kulit kepala anak dan dibiarkan selamat 15 minit. Balut kepala, kemudian bilas rambut anak dengan menggunakan syampu untuk menghilangkan rasa lekit di kepala. Disebabkan sifat madu yang alami tentu sahaja kulit kepala akan merasa nyaman dan bersih.

2. Minyak zaitun

Minyak zaitun membantu menyihatkan kulit rambut. Kandungan vitamin E sangat baik untuk melebatkan rambut dan menyihatkan kulit kepala. Ibu bapa sangat digalakkan untuk menyapukan minyak zaitun pada rambut anak-anak sehari atau dua hari sekali.

3. Lidah buaya

Sejak dahulu lagi orang-orang tua gemar menyapukan isi dan lendir dari daun lidah buaya di kepala untuk memastikan rambut mereka sihat dan tumbuh dengan lebat dan berwarna hitam. Bahan ini boleh juga digunakan kepada si kecil.

4. Minyak kelapa

Pasaran kini dilambakkan dengan pelbagai jenis minyak rambut sama ada untuk kanak-kanak atau orang dewasa. Kandungan bahan kimia yang terdapat di dalam produk ini boleh mengakibatkan masalah ketidaksuburan dan keguguran rambut. Pada usia yang masih muda, sebaiknya anak kecil digalakkan menggunakan minyak kelapa yang terhasil secara semula jadi dari buah kelapa.

5. Pisang dan minyak zaitun

Buah pisang mengandungi bahan mineral yang kaya dengan kalium iaitu salah satu kebaikan yang boleh membuatkan rambut anak-anak tumbuh dengan cepat. Selain itu, dengan mencampurkan pisang yang dilenyek dengan minyak zaitun akan menjadikan folikel rambut menjadi semakin kuat dan ini membuatkan rambut menjadi lebih sihat dan bersih.

6. Buah avokado

Buah avokado kaya dengan vitamin C, E dan K dan tiada kandungan garam di dalamnya. Kepelbagaian vitamin yang ada di dalam buah ini sangat baik untuk merangsang pertumbuhan rambut si kecil dan memastikan kulit kepala sihat dan bersih. Selain dimakan begitu sahaja, buah ini boleh disapukan di kepala dengan cara mengisarnya menjadi seperti gel dan dibalut untuk beberapa ketika sebelum dibilas dengan air yang bersih.

7. Buah keras

Satu lagi petua yang menggunakan bahan semula jadi untuk menjadikan rambut anak-anak anda cantik dan lebat ialah buah keras. Bijinya boleh dimanfaatkan menjadi minyak yang memiliki pelbagai khasiat untuk melebatkan dan menjadikan rambut hitam. Selain itu, kebaikannya untuk mencegah kerosakan rambut. Sapukan minyak buah keras setiap hari di kepala hingga ke hujung rambut anak anda.

8. Air kelapa muda

Khasiat buah kelapa memang tidak dapat dinafikan. Pelbagai kebaikan yang dapat diperoleh dari hujung daun, pelepah, buah dan batangnya sangat banyak kegunaan kepada kita. Salah satunya ialah air kelapa muda yang sangat baik untuk kesihatan dan penjagaan rambut. Hanya siramkan ke atas kepala dan dibiarkan seketika. Kemudian basuh dengan bilas dengan air yang bersih. Anak anda pasti gembira dengan hasilnya kerana rambut menjadi lebat dan hitam semula jadi.

9. Elak menggunakan pengering rambut (hair dryer)

Untuk memastikan rambut anak anda sihat, elak menggunakan alat pengering rambut yang membahayakan kulit kepala. Ini kerana hawa panas yang keluar akan menjadikan rambut kering, kasar, tidak subur dan warna hitam rambut akan pudar. Akar rambut juga mudah patah dan ini akan membantutkan pertumbuhannya, selain menyebabkan pori-pori pada permukaan kulit kepala akan terbuka. Keadaan ini membuatkan rambut menjadi gugur dan akhirnya boleh botak.

10. Kurangkan mengikat rambut anak

Anak kecil memang kelihatan comel jika rambutnya diikat kemudian dipakaikan dengan riben, scarf, atau perhiasa rambut yang lain. Ibu bapa seharusnya perlu mengurangkan mengikat rambut anak kerana ikatan yang terlalu kuat menggunakan getah akan membuatkan rambut mereka kurang bernafas. Ini boleh membantutkan pertumbuhan rambut untuk menjadi panjang dan lebat. Cukuplah sekadar menggunakan penyepit rambut sahaja.