Bila kali terakhir anda menikmati percutian romantik bersama pasangan masing-masing? Dua tahun, lima tahun atau 10 tahun yang lalu? Tidak kira berapa lama usia perkahwinan anda bersama pasangan, percutian romantik adalah salah satu cara mengeratkan kembali perhubungan kasih sayang di antara suami dan isteri. Apatahlagi setelah melahirkan zuriat dan anak-anak semakin membesar, masa peribadi di antara suami dan isteri menjadi semakin sempit untuk merasai saat-saat romantis ketika bersama.

Lantaran itu, anda sebenarnya memerlukan saat-saat percutian romantik yang diluangkan bersama pasangan untuk beberapa hari. Percutian romantik bersama pasangan amat bermakna untuk memulihkan dan menyegarkan kembali ikatan kasih sayang yang mungkin semakin hambar setelah beberapa tahun menempuh cabaran dan asam garam dalam rumahtangga.

Jika anda jenis pasangan yang menghargai kehangatan saat berdua bersama pasangan, tinggalkan segala kesibukan anda dalam urusan kerjaya dan kesibukan menguruskan anak-anak. Berusahalah mencari saat paling sesuai untuk merancang percutian romantik yang sukses bersama pasangan. Saat ini pastinya dihargai oleh pasangan anda.

Bagi yang ingin merancang percutian romantik yang sukses bersama pasangan, berikut kami kongsikan beberapa tips berguna yang anda boleh jadikan panduan.

Pilih Lokasi Percutian Romantik

Malaysia menawarkan banyak lokasi percutian romantik untuk pasangan suami isteri. Pulau adalah antara destinasi romantis yang menjadi pilihan pasangan yang telah berkahwin dan ingin berbulan madu untuk ke sekian kalinya. Antara pulau romantik yang dicadangkan ialah Pulau Mabul dan Pulau Pom Pom di perairan Sabah. Pulau Pangkor juga tidak kurang romantiknya sebagai pilihan bagi kebanyakan pasangan kekasih.

Jika anda memiliki kemampuan dari segi kewangan, memilih percutian di luar negara juga adalah opsyen terbaik. Santorini di Greece, Maldives dan Paris adalah antara destinasi romantis popular di khabarkan oleh kebanyakan pasangan yang bercinta.

Memilih lokasi percutian yang belum pernah dikunjungi adalah satu idea yang baik. Namun jika anda dan pasangan mempunyai kenangan manis di suatu lokasi indah percutian, tidak salah untuk anda memilih lokasi percutian yang sama. Mungkin lokasi itulah yang paling dikenang oleh pasangan anda.

Tidak semestinya percutian yang memerlukan anda terbang ke sana ke mari dengan menaiki kapal terbang. Anda juga boleh memilih percutian romantik di atas kapal mewah yang menawarkan pakej khas untuk berbulan madu.

Sediakan Kejutan Untuk Pasangan Anda

Selalunya wanita rasa lebih dihargai jika suami menyediakan kejutan tertentu semasa bercuti berdua-duaan dengan pasangan. Namun tidak salah seandainya pihak wanita juga ingin bersedia mengadakan kejutan untuk pasangan yang dicintai. Pelbagai idea kejutan anda boleh lakukan terhadap pasangan. Antaranya merahsiakan lokasi percutian sebaik yang mungkin sehingga anda dan pasangan tiba ke destinasi tujuan.

Selain itu, kejutan juga boleh berupa dalam bentuk pemberian hadiah seperti cincin emas, jam tangan pasangan dan lain-lain yang bermakna. Anda juga boleh memohon kepada pihak hotel menyediakan kejutan dalam bilik penginapan seperti hiasan bunga ros dan hiasan lampu di atas katil. Jangan lupa merancang candle light dinner bersama pasangan dengan sajian istimewa yang anda belum pernah nikmati sebelumnya. Pemberian bunga ros juga sesuatu yang indah untuk diingati oleh pihak wanita.

Sediakan Pakaian Sesuai Untuk Malam Yang Istimewa

Anda tentu faham apa yang dimaksudkan di sini bukan? Semasa bercuti bersama pasangan tentunya banyak masa privasi yang akan diluangkan bersama pasangan dalam bilik penginapan di atas katil. Bagi wanita, sediakan pakaian yang dapat membangkitkan perasaan suami anda seperti pada malam pertama perkahwinan anda. Jika mampu, beli pakaian baru yang belum pernah dipakaikan depan suami sebelumnya. Pakaian baru seperti malam pertama ini akan membangkitkan mood atau perasaan yang berbeza terhadap pasangan.

Selain pakaian untuk kejutan di waktu malam, pilihlah pakaian yang cantik dan bergaya untuk berjalan-jalan bersama pasangan. Kenakan fesyen atau gaya yang berbeza supaya pasangan anda lebih tertarik terhadap penampilan anda. Semburan haruman juga penting untuk dibawa bersama. Bagi wanita jangan lupa menyediakan peralatan mekap yang akan membuatkan penampilan anda lebih cantik daripada kebiasaannya.

Elakkan Perkara Yang Mengganggu Percutian

Gajet adalah antara perkara yang paling membuatkan anda rasa jauh hati terhadap pasangan bukan? Sebelum pergi bercuti, tetapkan syarat bersama pasangan supaya masing-masing dapat mengehadkan diri dari penggunaan telefon bimbit. Hadkan penggunaan telefon bimbit pada masa-masa tertentu sahaja seperti untuk mengambil gambar bersama pasangan. Pastikan pasangan anda mematikan telefon bimbit semasa menikmati makan malam istimewa atau candlelight dinner.

Perkara lain yang mengganggu percutian romantik ialah membangkitkan perbincangan sensitif seperti masalah keluarga dan anak dan perbincangan tentang urusan kerja di pejabat. Elakkan daripada memberi komen negatif terhadap sebarang kejutan yang disediakan oleh pasangan anda. Ingatkan kepada pasangan masing-masing supaya tidak membangkitkan isu-isu yang boleh membawa perbalahan ketika bercuti.

Pilih Waktu Bercuti Ketika Isteri Dalam Keadaan ‘Bersih’

Jangan musnahkan semangat mengulangi malam pertama bersama pasangan dalam keadaan isteri sedang melalui tempoh haid. Waktu terbaik adalah merancang percutian beberapa hari selepas tempoh haid isteri. Pada waktu ini, wanita akan melalui saat-saat subur yang membuatkan perasaan ghairah mereka meningkat terhadap suami.

Anda tentu tidak mahu ketinggalan mengulangi saat-saat romantis seperti malam pertama bersama pasangan bukan? Oleh itu, bincang bersama pasangan untuk menentukan jadual dan waktu percutian yang sesuai.

Rahsiakan Percutian Romantik Anda

Tidak semua kenalan anda perlu tahu bahawa anda dan pasangan sedang bercuti. Anda cuma perlu maklumkan rancangan percutian anda kepada individu terdekat yang anda paling hargai dan percayai seperti anak-anak dan ibu bapa.

Semasa bercuti juga pasti anda tidak akan ketinggalan mengemaskini status di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Tidak salah untuk mengabadikan kenangan indah untuk tatapan rakan-rakan anda. Namun bukan satu keperluan untuk anda mengemaskini lokasi percutian. Kadang-kadang perkara yang paling indah ialah saat anda hilang seketika bersama pasangan ke lokasi yang tidak diketahui dan dijejaki oleh orang-orang yang mengenali diri anda.

Rancang Aktiviti Percutian Yang Bukan ‘Cliche’

Menonton wayang, bermain boling dan membeli belah adalah suatu aktiviti cliche yang sering dilakukan oleh pasangan suami isteri. Semasa tempoh percutian romantik ini, rancanglah aktiviti yang berbeza dan unik belum pernah dilakukan bersama pasangan sebelumya. Sebagai contoh jika anda dan pasangan belum pernah menaiki kapal cruise, inilah saat terbaik mengajak pasangan menikmati saat-saat indah atas kapal. Contoh lain adalah seperti aktiviti candlelight dinner di atas pemandangan bukit yang dihiasi cahaya lilin di persekitaranya. Aktiviti menarik juga boleh melibatkan perkara yang sedikit lasak seperti mendaki bukit untuk menikmati pemandangan matahari terbit. Mungkin aktiviti memenatkan ini belum pernah dilakukan bersama pasangan. Jadi. inilah saat-saat terbaik untuk anda melakukannya!

Akhir Sekali…Relaks & Nikmati Saat Ketenangan

Akhir sekali nikmatilah saat-saat percutian romantik bersama pasangan anda dalam keadaan yang relaks dan tenang. Anda tidak perlu terkejar-kejar memenuhi aktiviti percutian dengan jadual yang penuh dengan aktiviti. Sekadar membawa pasangan mengunjungi tempat-tempat menarik dan tenang serta jauh dari kesibukan orang ramai itu sudah cukup membangkitkan saat berdua-duaan yang penuh romantik.