Emosi marah adalah suatu perkara normal dalam diri setiap manusia. Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada memiliki sikap marah. Cara kanak-kanak meluahkan perasaan marah berbeza daripada kita sebagai orang dewasa. Sebagai seorang dewasa kebanyakan kita mampu mengawal dan mengendalikan kemarahan dengan cara yang matang. Namun berbeza dengan kanak-kanak yang tahap emosi dan fikirannya masih dalam peringkat perkembangan. Kanak-kanak sering mengekspresikan perasaan marah mereka melalui tangisan yang disertai dengan perbuatan mengamuk.

Seringkali ibu bapa akan rasa terganggu apabila anak mengamuk lebih-lebih lagi apabila perbuatan mereka ini dilakukan di tempat awam. Banyak mata yang akan memandang seolah-olah anda ibu bapa yang tidak pandai menjaga anak. Membiarkan anak mengamuk tanpa kawalan sememangnya salah. Namun sebagai ibu bapa anda perlu mengetahui cara menangani anak yang suka mengamuk. Seseorang kanak-kanak tidak akan mengamuk tanpa sebab. Mereka juga memiliki emosi seperti kita seperti kecewa, sedih dan takut. Semua ini menjurus kepada punca-punca anak mengamuk.

Jadi, apakah yang ibu bapa perlu lakukan jika anak suka mengamuk? Baca tips berguna ini bagaimana cara mengawal anak yang suka mengamuk.

1. Jangan Biarkan Anak Tenangkan Diri Sendiri

Perbuatan membiarkan anak mengamuk dan menenangkan diri sendiri menunjukkan anda tidak prihatin dengan perasaan yang sedang mereka alami. Kanak-kanak memerlukan perhatian anda. Maka disebabkan itu mengamuk menjadi salah satu cara mereka meluahkan perasaan marah. Apabila anak anda sedang mengamuk, dekati mereka dan ucapkan kata-kata yang dapat menenangkan hati mereka berdasarkan punca mereka mengamuk. Cara ini berupaya membentuk dalam diri mereka kawalan diri yang lebih cepat berbanding jika anda membiarkan mereka terus menerus mengamuk. Mereka akan rasa lebih terpujuk dan dengan mudahnya mampu mengawal perasaan apabila mendengarkan kata-kata yang sepatutnya dari mulut anda. Ucapan kasar seperti “ Lantak kau lah nak mengamuk ke ape….” hanya akan membuatkan mereka semakin kecewa. Cara salah ini hanya menguatkan lagi amukan dan tangisan mereka.

2. Elakkan Menengking

Tindakan menengking anak hanya akan menyebabkan mereka semakin agresif dalam amukan. Perbuatan menengking anak anda menjadi salah satu penyebab mengapa mereka sukar mengawal kemarahan sehingga mengamuk. Tengkingan anda terhadap mereka adalah ‘salinan’ yang akan dicontohi oleh mereka dan mungkin perkara ini akan berterusan sehingga mereka dewasa sehingga membentuk sifat amarah yang sukar dikawal.  Anda sendiri perlu mengawal diri dari terus marah ketika melihat anak tiba-tiba mengamuk. Tunjukkan kematangan anda mengawal emosi kanak-kanak dan jangan biarkan tahap pemikiran anak-anak yang masih kecil itu pula yang mengawal diri anda. Apabila ibu bapa mampu mengawal diri dari menghamburkan kata-kata yang menyakitkan ketika anak sedang mengamuk, anda sebenarnya telah menenangkan emosi anak anda sekaligus mengawal persekitaran yang tegang.

3. Alihkan Tanggungjawab Meredakan Suasana

Jika anda sendiri tidak mampu mengawal perasaan melihat perbuatan anak yang suka mengamuk, jauhkan diri dan cuba diam seketika untuk mengelakkan daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat atau sehingga menyakitkan fizikal anak. Sebaliknya biarkan pasangan anda atau sesiapa sahaja orang terdekat yang anak anda kenali mengawal situasi tersebut. Selalunya salah seorang dari pasangan anda pastinya memiliki kemampuan untuk mengawal suasana tegang ketika anak mengamuk.

4.Tawarkan Mereka Dengan Perkara Yang Mereka Sukai

Anak-anak kecil mudah terpujuk apabila kita menawarkan atau menjanjikan mereka dengan sesuatu yang mereka sukai. Ini seolah-olah satu sistem tawaran atau ganjaran jika mereka berkelakuan baik. Sebagai contoh, jika mereka mengamuk disebabkan keinginan terhadap sesuatu permainan, anda boleh tawarkan permainan yang lebih baik dari yang mereka inginkan. Anda boleh mengatakan sebegini “Kalau adik berhenti menangis, ibu akan belikan 10 aiskrim berwarna warni untuk adik”. Atau anda boleh mengatakan “ Ayah boleh belikan mainan ini untuk adik, tapi dengan syarat adik mesti berhenti menangis”. Manusia sememangnya menggemari ganjaran yang membuatkan mereka lebih bermotivasi dalam melakukan sesuatu. Oleh itu, menawarkan kanak-kanak-kanak dengan sesuatu yang mereka sukai adalah satu bentuk memujuk mereka dengan cara halus. Namun pastikan anda melaksanakan apa yang dijanjikan. Paling penting elakkan daripada menjanjikan bulan dan bintang yang tidak mampu dilaksanakan. Sebaliknya tawarkan perkara yang sudah pasti anda mampu berikan.

5. Dengar Apa Yang Mereka Ingin Sampaikan

Apabila kanak-kanak menyatakan kemarahan, jadilah pendengar yang baik dengan penuh kesabaran dan mengakui apa yang mereka perkatakan. Elakkan daripada perbuatan menyalahkan atau tidak bersetuju dengan cara mereka.  Ingat! Anda tidak perlu menyatakan “Setuju” atau “Ya” untuk menunjukkan anda cuba mengakui kata-kata mereka walaupun hakikatnya anda tahu ia tidak betul. Sebaliknya buka pintu komunikasi supaya mereka dapat meluahkan perasaan yang mereka lalui pada masa itu. Pintu komunikasi adalah jalan terbaik bagi seseorang meluahkan perasaan yang terpendam. Ia sama juga seperti anda yang telah dewasa. Anda tentunya memerlukan seseorang yang dipercayai untuk meluahkan rasa tidak puas hati yang terpendam jauh dalam lubuk jiwa bukan? Ya…begitulah juga anak anda. Komunikasi dan dengar dengan sabar segala perkara yang ingin mereka luahkan dengan menjadi pendengar yang baik.

6. Memujuk Dengan Cara Bergurau

Kanak-kanak tetap jua kanak-kanak. Mereka akan teruja apabila ada seseorang bergurau dan bermain dengan mereka. Memang agak sukar untuk bergurau dengan anak di saat hati dan jiwa mereka dihurung kemarahan dan amukan. Salah satu cara bergurau adalah dengan mendukung dan menggeletek perut mereka untuk membuatkan mereka kembali ketawa. Percayalah bahawa kana-kanak yang sedang mengamuk atau menangis akan mudah ketawa semula apabila digeletek yang membuatkan mereka rasa geli. Cara ini mampu meredakan tangisan agresif seorang kanak-kanak. Apabila si kecil mula ketawa semula, ikuti beberapa langkah di atas supaya perasaan dapat dikawal semula secara perlahan-lahan.

7. Jangan Paksa Mereka

Kanak-kanak akan semakin memberontak apabila dipaksa melakukan sesuatu yang tidak mereka sukai. Sebagai contoh anda ingin mereka berhenti bermain di luar menjelang waktu senja. Namun mereka masih degil dan tidak mahu mendengar arahan anda. Jangan paksa mereka untuk terus masuk ke dalam rumah yang mungkin menyebabkan mereka mengamuk. Sebaliknya andalah yang perlu keluar dan layan mereka bermain selama beberapa minit. Setelah itu, cubalah pujuk mereka secara perlahan-lahan sambil menerangkan sebab-sebab mereka perlu berhenti bermain sewaktu menjelang senja. Tujuan paling penting ialah membuat mereka memahami sesuatu perkara. Bukan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak digemari.

8. Beri Mereka Pilihan

Kanak-kanak yang degil dan suka mengamuk tidak suka dipaksa membuat sesuatu yang tidak digemari. Memberi mereka membuat pilihan sendiri adalah lebih baik daripada memaksa mereka terhadap sesuatu yang tidak digemari. Kanak-kanak akan lebih agresif dan memberontak apabila dipaksa. Sebaliknya tawarkan kepada mereka pilihan supaya mereka menuruti kata-kata anda. Memberi mereka peluang membuat pilihan A, B dan C adalah lebih baik daripada mengarahkan mereka melakukan sesuatu yang spesifik. Sebagai contoh, jika anak anda masih degil untuk masuk tidur pada pukul 10.00 malam kerana seronok menonton rancangan kartun kesukaan mereka di televisyen, beri mereka pilihan untuk tidur sehingga mereka selesai menonton rancangan kartun yang digemari. Cara ini akan membuatkan mereka lebih faham tentang batas waktu menonton televisyen pada waktu malam.