Cuti persekolahan adalah saat-saat paling meriangkan bagi anak-anak yang masih bersekolah. Di waktu inilah mereka dapat melepaskan diri seketika dari bebanan tugasan kerja sekolah dan peperiksaan penting yang dilalui sepanjang tahun. Biasanya ibu bapa akan memenuhi aktiviti sepanjang cuti persekolahan dengan membawa anak mereka pulang ke kampung bersama-sama untuk tempoh yang lebih lama, bercuti ke luar atau dalam negara, menyertai aktiviti perkhemahan dan sebagainya.
Namun tidak semua akan memilih untuk melakukan aktiviti luar rumah dan bercuti sepanjang cuti persekolah. Selain memenuhinya dengan aktiviti luar rumah, aktiviti sepanjang cuti persekolah juga boleh dipenuhi oleh anak-anak dengan sesuatu yang membawa manfaat dan produktif kepada diri mereka sendiri. Suatu aktiviti yang produktif selalunya melibatkan manfaat dari segi tambahan ilmu, pembentukan hobi baharu, peningkatan kemahiran, pertambahan sumber kewangan dan lain-lain. Cuti sekolah yang panjang adalah peluang untuk anda menggalakkan anak-anak menjadi lebih produktif dan tidak hanya membuang masa tanpa sebarang manfaat kepada diri mereka.
Jadi, apakah aktiviti yang mendidik anak menjadi produktif sepanjang cuti persekolahan? Mari kita lihat 10 cadangan ini yang anda boleh cadangkan kepada anak-anak sebelum cuti sekolah bermula.
1.Belajar Bahasa Baharu
Memenuhi masa lapang dengan belajar bahasa yang belum pernah dipelajari adalah salah satu aktiviti produktif yang dapat menambahkan kemahiran bahasa anak-anak. Anda boleh memilih sama ada menghantar anak ke kelas bahasa atau belajar secara online. Kini terdapat pelbagai pilihan pembelajaran bahasa secara online ditawarkan sama ada secara percuma dan berbayar. Belajar bahasa baharu selain daripada bahasa ibunda dapat meningkatkan kemahiran berbahasa dan menanam minat dalam diri mereka untuk menerokai bahasa lain di dunia. Terdapat pelbagai bahasa utama di dunia antaranya bahasa cina, korea, jepun, jerman, perancis dan sebagainya.
2. Menjual Barangan Terpakai
Tentunya anak anda memiliki banyak barangan terpakai yang sudah tidak diperlukan lagi bukan? Daripada anda menyimpan dan menyemakkan suasana rumah dengan barangan yang tidak digunakan, adalah lebih baik jika anda dan anak anda memikirkan cara untuk menjana sedikit duit poket hasil daripada jualan barangan terpakai. Jualan barangan terpakai boleh dilakukan menerusi pelbagai cara. Antaranya menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram, menyertai jualan secara langsung di pasar karat, menjual di saluran laman pembelian online dan sebagainya. Semua ini dapat membantu anak anda menjana duit poket mereka sendiri. Disamping itu mereka dapat didedahkan dengan dunia perniagaan secara kecil-kecilan.
3. Belajar Membina Laman Web
Laman web pada masa kini menjadi satu perkara meluas yang dipelajari oleh semua golongan tanpa mengira umur. Membina laman web secara asas boleh dipelajari secara mudah oleh anak anda melalui pendaftaran ke kelas-kelas membina laman web secara langsung. Jika ingin menjimatkan kos, anak anda boleh mempelajarinya melalui tutorial secara percuma yang banyak terdapat di laman web tutorial seperti Youtube dan laman web lain secara percuma. Kemahiran membina laman web adalah salah satu kelebihan bagi pembentukan kerjaya dan menjana pendapatan apabila mereka dewasa nanti.
4. Tonton Rancangan Dokumentari
Bagi mereka yang mempunyai televisyen di rumah yang menyediakan saluran rancangan menarik dan berpendidikan, anda boleh menonton rancangan dokumentari. Antara rancangan dokumentari yang dicadangkan ialah National Geographic, The History Documentaries, Discovery Channel dan sebagainya. Banyak ilmu-ilmu baharu yang boleh dipelajari hasil dari tontonan rancangan dokumentari oleh anak-anak. Tambahan lagi kini terdapat pelbagai saluran penyedia rancangan TV satelit seperti Astro dan penstriman video seperti Netflix dan iflix. Rancangan dokumnetari juga boleh ditonton secara percuma di banyak saluran Youtube.
5. Menyertai Aktiviti Sukarelawan
Anak-anak anda yang masih kecil juga boleh didedahkan dengan dunia sukarelawan. Anda boleh menggalakkan mereka menyertai pelbagai aktiviti sukarelawan seperti membantu warga tua dan anak yatim, membersihkan kawasan pantai yang dipenuhi sampah sarap, sukarelawan di zoo, memberi makan kepada mereka yang hidup secara gelandangan dan sebagainya. Kesemua aktviti sukarelawan secara asasnya menggalakkan aktiviti ringan tulang serta menanam rasa kasih sayang sesama insan.
6. Mengunjungi Perpustakaan
Perpustakaan menyimpan pelbagai bahan bacaan yang sangat bermanfaat untuk menambahkan ilmu. Kunjungi perpustakaan utama di tempat anda seperti perpustakaan negeri dan perpustakaan negara seperti di Kuala Lumpur. Luangkan masa sekurang-kurangnya 3 jam sehari di perpustakaan dengan membaca bahan bacaan yang bermanfaat dan menambahkan ilmu dalam bidang yang belum pernah anak anda terokai di sekolah. Melalui pembacaan yang luas di perpustakaan, minda anak anda akan terdedah dengan pelbagai sumber ilmu dan bidang yang bakal mempengaruhi minat kerjaya mereka di masa hadapan.
7. Bersenam
Sepanjang cuti persekolahan ini, luangkan masa bersama anak-anak dengan aktiviti riadah dan bersenam di waktu pagi atau petang. Bersenam adalah punca kesihatan badan, mencegah diri dari masalah obesiti dan memperbaiki sistem kardiovaskular dalam badan supaya jantung anak anda menjadi lebih sihat. Mungkin ada di antara anak anda yang telah menghadapi masalah obesiti di usia yang masih kecil. Pada masa cuti sekolah inilah waktu paling terbaik untuk anda membantu anak anda menurunkan kembali berat badan. Amalan bersenam yang dilakukan bersama ahli keluarga juga dapat mengeratkan lagi perhubungan sesama keluarga.
8. Mengunjungi Zoo, Muzium dan Akuaria
Mengunjungi muzium yang menjana minda dan menambahkan ilmu seperti muzium sejarah adalah salah satu cara memperkenalkan sejarah negara kepada anak anda secara lebih dekat. Zoo adalah salah satu pusat kunjungan keluarga yang menjadi pilihan untuk mendekatkan lagi anak anda dengan dunia haiwan. Selain itu anda boleh membawa anak-anak mengunjungi pusat akuaria untuk melihat keindahan hidupan dasar laut, mengunjungi ke pusat-pusat sains seperti planetarium dan pusat sains negara. Anak anda tentunya teruja didedahkan dengan dunia sains secara lebih mendalam.
9. Belajar Memasak
Sama ada anak perempuan mahupun anak lelaki, galakkan anak anda menyertai kelas masakan. Jika anda seorang ibu atau bapa yang handal memasak, inilah masa untuk anda mengajar anak pelbagai ilmu dan resepi masakan yang sedap-sedap. Belajar memasak bukan sahaja berkenaan resepi masakan utama. Mereka juga boleh belajar memasak kek, biskut dan kuih muih. Tentukan sekurang-kurangnya 3 resepi yang dipelajari setiap minggu. Dalam masa sebulan sahaja, anak anda pasti mampu memasak sendiri apabila mereka merasa lapar.
10. Membersihkan Rumah
Musim cuti sekolah adalah waktu paling sesuai untuk ibu bapa mendapatkan pertolongan anak-anak mereka membersihkan rumah. Bahagikan tugas kepada setiap anak untuk mebersihkan seluruh rumah sama ada di bahagian dalam, tandas, bilik mandi, halaman rumah dan belakang rumah. Mungkin halaman rumah anda telah dipenuhi semak samun. Inilah masanya untuk anda melakukan aktiviti bersama mereka membersihkan seluruh kawasan rumah supaya lebih selesa untuk didiami. Sebagai ganjaran, berilah upah dalam bentuk belanja makan, percutian dan dalam bentuk kewangan untuk kesenangan hati mereka setelah penat membantu membersihkan rumah.