“Mengapa saya sukar hamil?”

Igauan tentang kesukaran hamil sering bermain dalam fikiran bagi wanita yang telah mengharungi perkahwinan selama bertahun-tahun bersama pasangan. Kesukaran untuk hamil sebenarnya amat mencalar emosi dan semangat wanita. Pelbagai perkara menyukarkan bermain di fikiran terutamanya apabila isu sukar hamil ini melibatkan banyak pihak iaitu suami serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Kesukaran hamil untuk mendapatkan anak pertama boleh menyumbang kepada suasana tidak harmoni dalam keluarga. Malah lebih buruk lagi ia boleh menjadi penyebab kepada punca perceraian antara suami dan isteri.

Memang tidak dinafikan kehadiran cahaya mata pertama mampu menjadi penyeri dan keceriaan dalam rumahtangga. Namun kita tidak boleh menolak bahawa terdapat pasangan yang tidak bernasib baik untuk menerima kehadiran cahaya mata pada peringkat awal kehamilan. Setelah beberapa tahun berlalu dengan pelbagai usaha yang dilakukan untuk kejayaan hamil, ada yang bertuah menerima perkhabaran baik. Namun ada juga yang hampir berputus asa mengharungi dugaan kesukaran hamil selama bertahun-tahun.

Apenyebab kesukaran hamil di kalangan wanita? Mari kita lihat beberapa faktor yang mungkin menjadi penyebab utama mengapa wanita sukar hamil.

1. MENGAPA SAYA SUKAR HAMIL : TEKANAN ATAU STRESS

Kajian membuktikan bahawa masalah tekanan menyumbang kepada kesuburan seseorang. Apabila dalam keadaan tertekan, anda akan lebih cenderung mengelakkan diri dari melakukan hubungan seks lebih kerap dengan pasangan. Perkara ini akan menjejaskan peluang kehamilan.

Tekanan pada tahap yang kronik juga akan menjejaskan kitaran ovulasi seseorang wanita. Ini berlaku disebabkan kekacauan pada kitaran hormon yang dipengaruhi oleh tekanan wanita. Hormon yang menyumbang kepada ovulasi gagal memicu ovari untuk melepaskan telur pada setiap bulan.

2. MENGAPA SAYA SUKAR HAMIL : PERHUBUNGAN PADA MASA YANG SALAH

Melakukan perhubungan seks bersama pasangan pada masa yang tidak tepat menymbang kepada punca kegagalan hamil. Adalah penting bagi wanita untuk mengetahui waktu subur mereka yang tepat. Waktu subur anda boleh diketahui melalui catatan kitaran tempoh haid anda. Ovulasi akan bermula kira-kira 2 minggu sebelum anda didatangi haid. Sebagai contoh, jika kitaran haid anda 22 hari, maka ovulasi akan terjadi beberapa hari setelah haid berakhir. Waktu ovulasi akan berbeza bagi setiap wanita mengikut kitaran haid mereka. Rata-rata wanita mengalami masa subur di antara hari ke 10 sehingga jari ke 17 setelah haid berakhir.

Selain itu, waktu subur juga diketahui melalui lendir yang anda lihat pada bahagian serviks. Selepas haid tamat, lendir atau mukus serviks akan bertambah dan berubah teksturnya. Waktu paling subur akan menunjukkan perubahan mukus ke warna jernih, licin dan anjal. Waktu ini adalah paling sesuai melakukan perhubungan seks bersama pasangan.

3. MENGAPA SAYA SUKAR HAMIL  : KURANG AKTIVITI SEKS

Lakukan seks lebih kerap di antara dua sehingga tiga kali seminggu. Kerap melakukan seks akan meningkatkan peluang kehamilan. Mungkin agak sukar bagi anda menetapkan kekerapan melakukan perhubungan ini bersama pasangan beberapa kali dalam seminggu. Namun bagi mereka yang merancang hamil dalam tempoh 6 sehingga 12 bulan selepas perkahwinan atau perancangan hamil perlu melakukan perhubungan bersama pasangan sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu.

4. MENGAPA SAYA SUKAR HAMIL  : PASANGAN ANDA MEROKOK & MINUM ALKOHOL

Lelaki atau wanita yang merokok akan merosakkan tahap kesuburan mereka. Kebarangkalian untuk hamil akan mengambil masa yang lebih lama atau sifar peluang kehamilan. Ini disebabkan bahan kimia yang terkandung dalam rokok telah merosakkan sperma dan ovum untuk bersatu.

Masalah ini terjadi juga kepada perokok pasif iaitu pasangan yang menghidu bau asap rokok secara terus dari pasangan atau dari persekitaran perokok.

Begitu juga dengan minuman arak. Arak boleh menurunkan tahap kesebuburan anda untuk hamil. Wanita yang ingin hamil dinasihatkan untuk menjauhi sepenuhnya minuman beralkohol. Tambahan lagi, meminum alkohol terbukti memudaratkan kesihatan badan seseorang.

5. MENGAPA SAYA SUKAR HAMIL : BERLEBIHAN / KEKURANGAN BERAT BADAN & MAKAN TIDAK SEIMBANG

Kekurangan nutrien dalam badan akibat kekurangan berat badan akan mengganggu pengeluaran hormon kesuburan dan keseimbangan hormon dalam badan. Masalah ini akan menyumbang kepada penyakit hypothalamic amenorrhea di mana kitaran ovulasi dan menstruasi berhenti untuk beberapa tempoh berikutan kegagalan hormon dalam badan menyampaikan isyarat kepada sistem hipotalamus yang mengawal sistem pembiakan.

Masalah yang sama terjadi apabila berlebihan berat badan di mana peluang ovulasi dan menstruasi akan berhenti atau menurun. Apabila lemak dalam badan meningkat, paras insulin akan bertambah. Ini akan menyebabkan penghasilan hormon testosteron bertambah mengakibatkan ovari gagal menghasilkan telur.

Oleh kerana itu, anda perlu memastikan nutrien badan dibekalkan secukupnya dan pastikan indeks jisim badan anda berada pada tahap normal bersesuaian antara ketinggian dan berat badan anda. Selain itu, pastikan anda sentiasa melakukan senaman untuk memastikan badan anda tidak mengumpul lemak berlebihan yang akan menghasilkan hormon yang tidak sepatutnya untuk kehamilan.

6. MENGAPA SAYA SUKAR HAMIL : PENINGKATAN USIA

Meningkatnya usia adalah salah satu faktor mengapa anda sukar hamil. Kesuburan wanita akan mula menurun setelah memasuki usia 30 tahun dan ia akan semakin menurun setelah usia melepasi 35 tahun. Biasanya dalam tempoh 5 sehingga 10 tahun sebelum menopaus seseorang wanita, tahap kesuburan mereka akan mula berkurangan. Pada usia ini, kualiti telur yang dihasilkan akan berkurang. Wanita yang berusia 30 tahun akan memiliki 20% peluang kehamilan pada setiap kali percubaan perhubungan. Apabila usia memasuki 40 tahun, peratus kejayaan ini akan berkurang ke 5% sahaja pada setiap percubaan.

Umum mengetahui bahawa usia menopaus seseorang wanita berlaku di antara usia 50 ke 52 tahun. Pada usia ini, wanita tidak akan mampu lagi memiliki peluang untuk hamil.

7. MENGAPA SAYA SUKAR HAMIL : TIUB FALLOPIO TERSUMBAT

Tiub fallopio adalah laluan yang menyambungkan rahim dan ovari. Tiada persenyawaan berlaku antara sperma dan ovum jika tiub fallopio anda tersumbat.

Terdapat berberapa punca dan sebab terjadinya penyumbatan pada tiub fallopio. Antaranya jangkitan kuman sama ada bakteria, virus, kulat atau trichomonas. Wanita berbadan besar, pesakit kencing manis, wanita yang pernah mengalami keguguran dan esakit kanser mudah mengalami jankitan pada tiub fallopio.

Lain-lain punca penyumbatan tiub fallopio adalah endometriosis. Penyakit ini adalah disebabkan darah haid yang mengandungi toksin dan kuman masuk semula ke bahagian rahim melalui saluran tiub fallopio. Keadaan ini menyebabkan penyumbatan dan kerosakan pada saluran tiub fallopio.

APA TINDAKAN ANDA PERLU LAKUKAN JIKA SUKAR HAMIL ?

Berjumpalah dengan doktor bersama pasangan masing-masing untuk memeriksa jika terdapat masalah lain punca ketidak suburan. Doktor akan menjalankan ujian ultrasound, ujian air mani dan ujian darah untuk mengesan jika kedua-dua pihak pasangan atau salah seorang mengalami masalah kesuburan. Rawatan susulan yang sesuai dan tepat akan diberikan oleh doktor pakar anda.

Doktor mungkin akan mencadangkan penggunaan ubat-ubat kesuburan seperti clomiphene, rawatan kesuburan inseminasi intrauterin(IUI), rawatan suntikan intrasitoplasmik sperma (ICSI) atau mungkin juga melalui rawatan in-vitro (IVF).