Kami yakin ramai ibu bapa yang membeli sabun atau detergen khas untuk mencuci pakaian bayi mereka yang baharu lahir. Disebabkan sabun khas cucian bayi memiliki ciri-ciri tertentu seperti bau klasik seorang bayi yang tidak terdapat pada sabun pencuci biasa maka ia menjadi pilihan wajib bagi sesetengah ibu bapa.
Menggunakan cecair pencuci khas untuk bayi sebenarnya bukan satu kewajipan bagi ibu bapa. Ini kerana tiada kajian khas membuktikan bahawa sabun pencuci biasa tidak sesuai digunakan untuk cucian pakaian bayi. Tambahan lagi bukan sedikit ibu bapa yang berpengalaman menggunakan pencuci biasa untuk membersihkan pakaian bayi mereka. Mungkin disebabkan faktor bajet maka tidak semua ibu bapa mampu untuk membeli detergen khas untuk cucian pakaian bayi mereka.
Bagi ibu bapa yang mementingkan keutamaan peribadi, penggunaan pencuci khas pakaian bayi menjadi satu kemestian sehinggalah umur bayi mencapai satu peringkat tertentu. Kebanyakan sumi isteri yang baharu bergelar ibu bapa juga lebih gemar memilih cucian khas pakaian bayi. Kami berpendapat menggunakan sabun cecair khas untuk bayi baharu lahir adalah wajib sekurang-kurangnya dalam tempoh satu tahun pertama. Dalam tempoh ini seorang bayi akan menunjukkan reaksi atau tindak balas tertentu terhadap kesemua produk barangan bayi yang digunakan ke atas mereka. Sebagai contoh jenis susu formula dan juga kesan sabun pencuci ke atas kulit mereka.
Untuk itu, anda perlu tahu 6 sebab mengapa anda perlu basuh pakaian bayi menggunakan cecair khas.
1. Ianya Khas Untuk Cucian Pakaian Bayi
Terdapat bauan klasik khas seakan bau bayi digunakan dalam cecair pencuci pakaian bayi. Bauan ini tidak terlalu kuat seperti sabun pencuci pakaian biasa. Kebanyakan cecair pencuci khas bayi di pasaran menggunakan bahan semulajadi dan kurang mengandungi bahan kimia serta campuran pewarna. Bahan semulajadi ini dihasilkan daripada unsur tumbuhan di mana Ianya lebih selamat tanpa menyebabkan kesan kerengsaan terutama pada kulit bayi yang sensitif terhadap bahan kimia. Bayi yang menghidap ekzema, ruam dan masalah kulit lain sangat sensitif dengan bahan kimia yang boleh menyebabkan kemudaratan pada masalah kulit yang mereka hadapai. Warna cecair pencuci yang jernih menjadikan ia berbeza daripada cecair pencuci dewasa yang menggunakan unsur-unsur pewarna tambahan daripada bahan kimia.
2. Kurang Kesan Buih
Ramai yang memberi salah tanggapan tentang buih dalam cucian pakaian. Katanya semakin banyak buih keluar semasa mencuci pakaian makan semakin bersih pakaian yang dicuci.
Jawapan sebenarnya adalah salah. Jumlah buih tidak menentukan keupayaan pembersihan sesuatu produk. Malah dalam beberapa kes, kewujudan terlalu banyak buih akan mengurangkan keupayaan membersih. Buih yang banyak hanya sesuai pada keadaan cucian tertentu dan tidak pada cucian pakaian. Malah semakin banyak buih sabun semakin banyak masa dan air yang diperlukan untuk membilas.
Tidak seperti sabun pencuci dewasa, sabun atau cecair pencuci khas kanak-kanak tidak menyebabkan kesan buih yang banyak sehingga perlu dibilas berulang kali. Biasanya kesan sabun yang bertompok pada cecair pencuci biasa yang mengandungi bahan pewarna akan meninggalkan kesan bertompok yang tidak dibersihkan dengan sepenuhnya semasa proses cucian. Berbeza dengan cecair pencuci khas bayi ianya tanpa pewarna, lebih lembut, tidak terlalu berbuih menjadikan ia lebih senang dibilas serta tidak meninggalkan kesan tompok pada pakaian bayi.
3. Berkuasa Menanggalkan Kesan Degil
Ramai ibu bapa berpendapat sabun cecair khas pakaian bayi tidak sehebat seperti cecair pencuci biasa dalam menanggalkan kesan kotoran degil pada pakaian. Sebenarnya tanggapan ini tidak betul. Cecair pencuci khas pakaian kanak-kanak juga merupakan sejenis detergen yang berkuasa menanggalkan kesan degil pada pakaian secara efektif disamping mengekalkan kelembutan fabrik. Sesetengah bahan aktif yang dimasukkan sebagai agen pencuci untuk menanggalkan kesan degil mungkin tidak sesuai untuk kegunaan Muslim kerana mengandungi alkohol.
Bagi menanggalkan kesan motoran yang degil anda perlu melakukan rendaman air panas yang dicampur detergen khas bayi. Biarkan beberapa ketika sebelum anda menyental menggunakan berus atau cucian mesin. Penggunaan air panas dapat membantu meghilangkan kesan kotoran deginyang sukar dihilangkan.
4. Menjimatkan Wang Anda
Cecair pencuci khas pakaian bayi sebenarnya agak menjimatkan dari segi penggunaan. Anda tidak perlu lagi membeli cecair pelembut tambahan untuk mengekalkan kelembutan fabrik. Terdapat agen pelembut khas yang sedia ditambah dalam cecair pencuci dan anda tidak perlu lagi kepada pelembut tambahan lain yang dibeli secara berasingan. Kadar cuci untuk satu penutup penuh sabun cecair mampu membersihkan pakaian bayi dalam kuantiti yang banyak sekaligus menjimatkan pembelian sehingga maksimum dua sehingga tiga bulan.
Cecair pencuci khas bayi juga sebenarnya sesuai digunakan untuk cucian pakaian seisi keluarga. Anda tidak perlu lagi membeli jenis cecair yang berbeza untuk cucian pakaian bayi dan dewasa bagi setiap ahli keluarga anda. Namun bagi sesetengah ahli keluarga yang telah dewasa mereka mungkin tidak selesa jika terdapat bauan semulajadi bayi pada pakaian mereka. Jadi anda mungkin memerlukan cecair pewangi tambahan untuk membezakan bau pakaian bayi dan dewasa ahli keluarga anda.
5. Tidak Mengandungi Bahan Pencerah
Bahan pencerah yang terkandung dalam cecair pencuci pakaian sebenarnya merupakan sejenis bahan kimia yang berfungsi memberikan kesan kecerahan secara ilusi optik. Bahan ini tidak menyebabkan pakaian kelihatan baru dan benar-benar cerah. Sebaliknya kesan kecerahan yang anda nampak terhasil disebabkan penyerapan cahaya UV oleh kandungan bahan kimia yang menyerap cahaya ini selepas pakaian dicuci. Bahan ini tidak langsung tidak berfungsi untuk membersihkan pakaian anda.
Dahulunya, nila atau sejenis cecair biru digunakan untuk menghasilkan warna pakaian yang kelihatan baharu dan cerah. Pada masa kini, kebanyakan cecair pencuci menggunakan pencerah yang bersifat ilusi optik menerusi formula teknologi yang lebih maju.
Untuk mengesan sama ada terdapat kandungan bahan kimia ilusi optik dalam cecair detergen, anda boleh menggunakan mentol lampu UV dalam keadaan bilik gelap. Anda akan melihat kesan sinaran pada cecair pencuci jika ia mengandungi bahan ilusi optik.
Secara semulajadinya dengan menggunakan cecair khas pencuci anda telah membersihkan pakaian bayi anda tanpa kaedah ilusi optik. Keyakinan kebersihan selepas proses pencucian seharusnya lebih menyakinkan anda berbanding dengan teknik ilusi optik semata-mata. Tanpa bahan kimia ini, tentunya ia jauh lebih selamat untuk kulit bayi anda.
6. Upaya Biodegradasi
Untuk memelihara alam semulajadi, sabun cecair pencuci khas bayi dihasilkan daripada bahan yang berupaya diuraikan melalui proses biodegradasi oleh organisma mikrob atau proses tindakan enzim yang akan memecahkan struktur kimia sesuatu bahan menjadi bentuk yang lebih ringkas.
Salah satu bahan kandungan yang sering digunakan dalam pembuatan detergen atau sabun cecair khas yang berupaya melalui proses biodegradasi ialah natrium lauril sulfat (sodium lauryl sulphate). Anda boleh memeriksa pada label kandungan bahan dalam produk sabun cecair khas bayi sebelum membuat pilihan membeli. Jika terdapat kandungan ini, itulah yang terbaik untuk pilihan bayi dan pemeliharaan alam sekitar.