Tiada masalah untuk anda membela haiwan peliharaan, namun yang menjadi halnya adalah apabila anda disahkan mengandung. Bukan semua haiwan peliharaan selamat untuk kehamilan anda. Wanita hamil perlu berhati-hati terutama jika haiwan peliharaan mereka dibela di dalam rumah. Anda perlu tahu bagaimana penjagaan haiwan peliharaan yang betul dan selamat semasa kehamilan.

ADAKAH KUCING HAIWAN YANG SELAMAT DIBELA SEMASA HAMIL?

Anda mungkin pencinta kucing, namun semasa hamil anda perlu berhati-hati dengan si comel ini. Awas dengan toxoplasma semasa anda mengendalikan sisa buangan kucing. Toxoplasma iaitu sejenis protozoa yang terdapat pada najis kucing adalah berbahaya kepada ibu hamil dan kandungannya (terutama semasa trimester pertama). Jika infeksi berlaku pada kandungan, bayi yang lahir berkemungkinan akan mempunyai masalah seperti sawan, masalah perkembangan dan penglihatan. Anda mungkin akan terkena toxoplasma semasa membersihkan pasir kucing atau tersentuh tanah, yang mana mengandungi najis kucing semasa anda sedang berkebun.

6 LANGKAH UNTUK MENGELAK DARIPADA TOXOPLASMA:
Minta pasangan anda untuk mengemas bekas pasir kucing anda setiap hari.
Bela kucing indoor.
Elakkan daripada menyentuh kucing jalanan.
Basuh tangan anda menggunakan sabun dan air sejurus selepas menyentuh najis kucing atau selepas berkebun.
Jangan berikan kucing anda makanan yang kurang masak atau mentah.
Pakai sarung tangan semasa membuang najis kucing atau berkebun.

BULU DAN HAMA

Sebagai pencinta haiwan atau kucing, anda berkemungkinan untuk mendapat alergi bulu kucing. Jadi, anda boleh berjumpa dengan doktor anda untuk mengetahui ubat alergi yang boleh dan tidak boleh diambil semasa hamil.
Namun, tiada cara untuk mengetahui sama ada bakal bayi anda alergi kepada bulu haiwan peliharaan anda ataupun tidak. Akan tetapi, sesetengah kajian menyatakan bahawa kanak-kanak yang membesar dengan haiwan peliharaan adalah kurang berisiko mendapat alergi kepada bulu binatang. Begitupun, masih tiada sebarang pengesahan tentang perkara ini. Jika anda mengesyaki bayi anda mengalami alergi kepada bulu haiwan, dapatkan nasihat daripada pakar pediatrik tentang hal ini.

PARASIT DAN VIRUS BERBAHAYA

Haiwan peliharaan bukanlah semata-mata kucing sahaja. Jika anda membela hamster dan tikus belanda (guinea pig), haiwan ini membawa virus yang dipanggil lymphocytic choriomeningitis (LCMV), iaitu jangkitan yang boleh menyebabkan masalah keguguran atau kecacatan kelahiran yang teruk. Jadi, jika anda ada membela haiwan-haiwan ini, elakkan daripada membersihkan sangkarnya termasuklah tidak menyentuh air liurnya, kencing, darah atau najisnya. Sesetengah ibu hamil akan meletakkan sangkar haiwan ini di bilik atau tempat lain supaya mereka tidak banyak meluangkan masa di situ sepanjang kehamilan.
Sementara itu, jika anda pembela haiwan seperti labi-labi ataupun haiwan eksotik, anda mungkin perlu mengambil berat akan kuman seperti salmonella yang dibawa oleh mereka. Elakkan haiwan reptilia anda buat sementara dengan tidak membersihkan tempatnya dan juga menyentuhnya. Minta pasangan anda untuk membantu membersihkannya. Dan, jika anda tersentuh haiwan tersebut, pastikan anda terus mencuci tangan dan juga pastikan tempat-tempat yang disentuhi oleh haiwan tersebut dibersihkan.

TERTIMPA PERUT

Bagi mereka yang membela anjing ataupun kucing yang besar (contohnya, berbaka maine coon), elakkan daripada haiwan ini tertimpa perut anda. Ada kalanya, tanpa diduga, haiwan peliharaan anda ingin bermesra dengan tuannya dan melompat sehingga terkena perut anda. Begitupun, anjing dikatakan tidak memberi risiko yang banyak kepada wanita hamil. Malah ramai yang memberitahu bahawa anjing akan menjadi lebih penyayang dan manja dengan tuannya semasa tempoh tersebut. Namun, ingat bahawa anda masih perlu berhati-hati!

CAKAR DAN GIGITAN

Sesetengah kucing akan dapat merasai kewujudan bakal bayi anda. Jadi, anda boleh mula bercakap dan berborak dengan si comel tentang kewujudan bakal bayi bagi mengelakkannya berasa asing jika bayi sudah lahir. Anda perlu meyakinkan si comel bahawa dia akan menerima ahli keluarga baru (bayi anda). Bagi mengelakkan kucing anda berasa janggal atau rasa terancam dengan kehadiran bayi anda, anda perlu selalu mengawasi bayi dan tidak meninggalkannya dengan kucing anda berseorangan. Hal ini kerana bagi mengelakkan sebarang tindakan mencakar atau menggigit daripada kucing anda kerana berasa terancam.