Apa yang Ibu Bapa Harapkan dari Pusat Pengayaan Kanak-kanak?

Product Details

Dulu & Sekarang

Dalam aspek pembelajaran kanak-kanak, segala yang kita ajarkan kepada mereka perlulah mengikut peredaran semasa. Ini bukanlah bermakna bahawa cara pembelajaran dahulu tidak lagi boleh diguna pakai pada zaman kini. Cuma, kanak-kanak zaman kini perlu lebih ke hadapan setanding dengan rakan-rakan sebayanya. Budak-budak zaman sekarang bukan seperti zaman kita dahulu yang kurang pendedahan ataupun masih belum terdedah kepada zaman teknologi. Malah, ketika zaman kita dahulu juga, pusat pengayaan masih belum wujud lagi. Jika adapun, bilangannya boleh dibilang dengan jari dan hanya didapati di bandar-bandar utama sahaja.

Senario menghantar bayi dan anak kecil ke playgroup dan pusat pengayaan bukanlah suatu fenomena yang baharu di negara luar. Malah, kanak-kanak dihantar ke kelas-kelas khas tersebut sebelum mereka mula belajar merangkak atau berjalan lagi. Ini adalah kerana ibu bapa sedar bahawa keupayaan kanak-kanak perlu dimulakan sedari awal lagi untuk menguasai kemahiran motor, bahasa dan kordinasi.

Mungkin ini juga salah satu sebab mengapa ramai ibu bapa di Malaysia kini mengambil peluang untuk menghantar anak mereka ke pusat pengayaan. Keperluan terhadap minda yang segar dan kreatif mendorong ibu bapa memulakan langkah untuk merangsang minda anak mereka sejak awal lagi. Malah, kanak-kanak yang akan memasuki sekolah juga dijangka telah menguasai kemahiran literasi, bukannya ‘kosong’ tanpa mengetahui apa-apa. (Nampak tak, perbezaan pendidikan awal dahulu dan sekarang)

Bersediakah Anak Anda?

Perkara pertama yang perlu anda lakukan sebelum memasukkan anak ke pusat pengayaan adalah, kesediaan anak untuk bersekolah. Tahap perkembangan setiap kanak-kanak berbeza. Ada kanak-kanak yang pesat berkembang, ada yang berkembang secara normal dan ada pula yang abnormal. Bagaimanapun, di sinilah peranan ibu bapa diperlukan. Anda perlu mengetahui potensi perkembangan anak anda seperti kebolehan menguruskan diri dan kebolehupayaannya untuk bersosial. Selain itu, anak anda juga perlu tahu untuk mendengar arahan, belajar bersosial, bercampur dan juga berkomunikasi dengan orang atau lebih tepat lagi dengan rakan sebaya yang baru dikenali. Mungkin juga, anda perlu menemani anak beberapa kali di pusat pengayaan tersebut sebelum mereka boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran tempat baru.

Manfaat Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Pendidikan bermula sejak hari pertama kelahiran bayi lagi dan keupayaan pembelajaran ini tiada noktahnya. Oleh itu, ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak kepada pendidikan sejak awal lagi. Bayi memerlukan pengalaman pembelajaran untuk meningkatkan perkembangan yang merupakan asas kukuh kepada keberjayaan mereka di sekolah.
Terdapat bukti kukuh bahawa otak berkembang pesat semasa tahun-tahun terawal kehidupan kanak-kanak. Malah, kajian juga menunjukkan jika kualiti rangsangan, sokongan dan asuhan tidak mencukupi akan memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang mengikuti kelas pendidikan awal juga terbukti dapat berkembang dari segi kognitif, tumbesaran dan kesihatan. Jadi, sebagai ibu bapa yang prihatin, anda perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran awal si manja. Pendidikan awal kanak-kanak merupakan pelaburan terbaik ibu bapa untuk si kecil.

Apa yang ditawarkan di Pusat Pengayaan?

Pelbagai jenis pusat pengayaan ditawarkan seperti bahasa, matematik, seni, sains, muzik dan banyak lagi. Kebanyakan kelas-kelas ini berfokus tentang persediaan si kecil untuk menyesuaikan diri dengan alam prasekolah dan juga sekolah nanti. Pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak di pusat pengayaan bukanlah seperti di sekolah. Pembelajaran mereka akan berlangsung secara interaktif dan menyeronokkan dengan aktiviti-aktiviti seperti bahasa, membaca, menulis, asas matematik, fonik, muzik, seni dan juga program latihan minda.
Kajian saintifik mendapati bahawa pendedahan pembelajaran awal kepada kanak-kanak merupakan permulaan yang baik untuk mereka menonjol di sekolah. Disebabkan itulah, kini banyak pusat pengayaan di negara kita, terutama pusat pembelajaran yang memfokuskan kepada persediaan kanak-kanak untuk ke sekolah, serta memasukkan teknik-teknik yang mengajar anak berfokus, memahami dan mengingati informasi.
Menghantar kanak-kanak ke program pengayaan dua kali seminggu adalah mencukupi untuk mendedahkan mereka kepada prasekolah dan sekolah. Anda akan lihat anak-anak ini akan mula memasuki tadika dengan kelakuan yang positif dan yakin, malah pencapaiannya juga akan lebih ke hadapan berbanding mereka yang tidak terdedah kepada pusat pengayaan.

Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...