Pendidikan amat penting buat kanak-kanak dan pada era yang kian maju ini, sudah tentu anda tidak mahu anak anda tercicir jauh ke belakang dalam pembelajaran. Ianya penting untuk memilih sekolah yang mampu mendidik mereka dengan sempurna dan juga mampu membeli ruang untuk mereka mengembangkan bakat.
Tetapi sejauh manakah pentingnya untuk anda memilih sekolah buat si kecil? Memilih sekolah bukan hanya terletak pada lokasi semata, ada banyak lagi kriteria penting lain yang perlu diambil kira seperti program dan kurikulum, yuran dan juga tenaga pengajar. Lihat aspek-aspek berikut di bawah untuk membantu anda membuat keputusan yang tepat dan terbaik.
Table of Contents
Tenaga pengajar
Perkara yang penting untuk anda pertimbangkan sebelum memilih sebarang sekolah buat anak anda adalah para pendidiknya. Cuba selidik dahulu tentang guru yang bakal mengajar anak anda sebelum membuat keputusan. Sebagai ibubapa, sudah pasti anda tidak mahu si kecil berada dalam ketakutan sepanjang kelas berlangsung dan tidak mahu berkomunikasi langsung dengan guru. Bukan itu sahaja, anda juga pasti tidak mahu anak anda sentiasa dimarahi oleh guru kerana ini boleh menyebabkan mereka kurang keyakinan diri. Guru adalah ibubapa kedua buat anak-anak dan banyak masa dihabiskan di sekolah. Pastikan guru yang bakal mengajar adalah seorang yang mempunyai kelayakan dan paling penting ikhlas.
Yuran tahunan
Yuran sekolah bergantung pada jenis sekolah yang anda pilih dan sebagai contoh, sekolah kebangsaan menawarkan yuran yang lebih rendah berbanding sekolah swasta. Kebiasaannya sekolah jenis persendirian dan swasta memiliki yuran yang lebih mahal daripada sekolah kerajaan. Jika anda mempunyai bajet yang minima, maka sekolah swasta dan juga persendirian bukan lah salah satu pilihan yang boleh dibuat. Yuran sekolah yang tinggi dan mahal tidak menjamin tahap dan mutu sekolah tersebut. Malah sekolah kebangsaan juga ada yang memberi mutu pembelajaran yang terbaik.
Lokasi yang strategik
Perjalanan yang jauh ke sekolah setiap hari pasti membuatkan anda keletihan dan juga anak anda. Bayangkan anda perlu bertolak dari rumah seawal 6 pagi untuk perjalanan selama 1 jam 30 minit untuk tiba ke sekolah. Bayangkan pula bagaimana anda mahu mengambil anak balik sekolah pada waktu “peak hour”. Lama kelamaan anda akan menjadi penat dan begitu juga anak anda. Situasi ini bakal membuatkan mereka kelam kabut di pagi hari untuk bersiap ke sekolah. Oleh itu, pilih lah skolah yang berdekatan dengan kawasan perumahan anda untuk menjimatkan masa.
Kemudahan dan keadaan sekeliling
Dalam pemilihan sekolah, pastikan anda memilih sekolah yang memiliki fasilititi yang terbaik. Pastikan juga keadaan sekolah berada dalam keadaan yang terjaga dan baik seperti tandas yang bersih, kelas yang mempunyai kemudahan elektrik, kemas dan bersih. Kesemua ini akan membuatkan anak anda berasa selesa untuk belajar di sekolah tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti tempat bermain, kantin, padang juga perlu diambil kira.
Reputasi sekolah
Anda sudah terjumpa sekolah yang berdekatan dengan rumah dan juga yuran yang ditawarkan juga amat berpatutan, tetapi anda terlupa pada satu kriteria penting iaitu reputasi sekolah. Pastikan anda memilih sekolah yang mempunyai reputasi yang cemerlang. Perhatikan perkembangan sekolah dan juga tahap kecemerlangan pelajarnya. Adakah sekolah tersebut mempunyai pelajar yang mempunyai masalah disiplin? Bagaimanakah pihak sekolah menguruskan kes disiplin para pelajar? Anda boleh tanyakan pada pelajar dan juga ibubapa untuk mengetahui dengan lebih tepat.
Program dan kurikulum
Adakah bahan pembelajaran yang diberikan bersesuaian dengan umur anak anda? Anda mereka mengikut standard silibus pembelajaran seperti yang diterapkan oleh kementerian pendidikan? Sebagai ibu bapa anda perlu ambil tahu mengenai kesemua perkara ini agar anak anda tidak ketinggalan jauh di belakang. Tanyakan pada guru mengenai proses pembelajaran di sekolah dan juga bahan bacaan dan ilmiah yang digunakan sepanjang kelas berlangsung.